Kumpulan pakar perubatan mengecam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana didakwa lewat bertindak berhubung ancaman wabak Ebola.

Salah seorang pakar yang menemui virus Ebola, Doktor Peter Piot menegaskan, WHO hanya mengisytiharkan Ebola sebagai krisis kesihatan antarabangsa selepas seramai 1,000 nyawa terkorban akibat virus maut itu dalam tempoh lima bulan.

Piot yang juga Pengarah London School of Hygiene and Tropical Medicine memaklumkan, reaksi WHO tidak setimpal dengan krisis yang melanda negara Afrika Barat.

“Saya mengisytiharkan darurat di kawasan operasi kami kerana virus Ebola mempunyai kaitan dengan logistik. Anda perlu menyediakan jumlah katil yang mencukupi tanpa mengira masa.

Anda perlu menguruskan pengangkutan dan berkomunikasi. Ia perlu dilaksanakan agensi seperti UNHCR dan WFP kerana mereka mempunyai kepakaran berurusan dengan perkara seperti ini,” kata Piot.

Menurut Piot, WHO gagal memainkan peranan mereka dalam mengangani Ebola dan ini diburukkan lagi dengan campur tangan politik di negara yang terlibat.

Sementara itu, Perancis menguatkuasa saringan suhu badan ke atas penumpang yang tiba dengan penerbangan terus dari Guinea.

Penumpang yang dikesan mempunyai suhu badan yang tinggi akan dibawa ke hospital serta merta.

Di Jerman pula, pihak berkuasa memutuskan untuk mengimbas bagasi penumpang dari negara Afrika yang terlibat. Imbasan ini dijalankan syarikat yang dilantik kerajaan.