DUNIA

Pakar ulas gempa kuat di Jepun, gesa waspada terhadap gempa lebih besar

Bernama 09/12/2025 | 02:20 MYT
Pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) Masashi Kiyomoto mengadakan sidang media susulan gempa yang melanda, Tokyo, 9 Dis 2025. REUTERS
TOKYO: Beberapa pakar memberikan pandangan mengenai gempa bumi kuat yang melanda Jepun pada malam Isnin yang mencetuskan tsunami di sepanjang pantai Pasifik di timur laut negara itu, sambil menyeru orang ramai supaya kekal berwaspada terhadap gegaran susulan yang lebih kuat.


Ringkasan AI
  • Gempa bumi kuat di Jepun yang mencetuskan tsunami di Pantai Pasifik timur laut menimbulkan kebimbangan pakar gempa.
  • Profesor Yoshihiro Hiramatsu menyebut gempa itu berkemungkinan punca daripada plat tektonik yang belum pecah daripada gempa besar pada 2011.
  • Pakar lain seperti Takuya Nishimura dan Hiroaki Takahashi menegaskan bahawa gempa ini adalah akibat pergerakan plat tektonik, serta menggesa orang ramai untuk kekal waspada terhadap ancaman gegaran susulan dan tsunami.


Yoshihiro Hiramatsu, profesor di Universiti Kanazawa dan pakar kajian gempa bumi, berkata gempa terbaru itu mungkin berpunca daripada bahagian plat tektonik yang belum pecah ketika gempa besar bermagnitud 9.0 yang melanda kawasan sama pada 2011.

"Berdasarkan kedalaman pusat gempa dan sudut sesaran, dipercayai ia berlaku di kawasan sempadan apabila plat sebelah lautan menyusup ke bawah plat sebelah daratan yang menampung kepulauan Jepun," katanya.

Beliau berkata ini boleh digambarkan sebagai gempa akibat plat yang belum pecah kerana gempa Isnin itu berlaku di sebelah utara kawasan asal gempa 11 Mac 2011.

Sambil menyatakan bahawa gempa bermagnitud lapan atau lebih besar pernah berlaku di rantau itu sebelum ini, termasuk pada 1968 di luar pantai Tokachi, Hokkaido, beliau menggesa orang ramai terus berhati-hati.

Hiramatsu berkata gempa terbaru itu mungkin telah mengalihkan keseimbangan bawah tanah, sekali gus mungkin menyediakan keadaan bagi berlakunya gempa lebih besar.

Takuya Nishimura, profesor di Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Universiti Kyoto, berkata tiada keraguan bahawa gempa itu merupakan gempa zon subduksi, iaitu yang berlaku di sempadan antara dua plat di Pasifik.

Beliau berkata gegaran kuat dirasai kerana gempa itu berlaku berhampiran daratan walaupun berpusat jauh di bawah permukaan.

Hiroaki Takahashi, profesor kajian gempa bumi di Universiti Hokkaido, turut berpendapat pergerakan plat tektonik mencetuskan gempa tersebut, sambil menggesa orang ramai agar berwaspada terhadap ombak tsunami dan gegaran kuat buat sementara waktu.

-- BERNAMA



#tsunami #pergerakan plat tektonik #pakar kajian gempa bumi #gempa bumi Jepun