NEW DELHI: Parti Kongres pembangkang India dan sekutunya pada Selasa melancarkan pakatan yang dipanggil "INDIA" untuk menggulingkan parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) dalam pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan pada 2024.

Pemimpin daripada 26 parti politik berhimpun di Bengaluru, di selatan Karnataka dan mengumumkan pembentukan "Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India" (INDIA) sebagai barisan bersatu.

Presiden Kongres Mallikarjun Kharge berkata wakil parti-parti pada persidangan sulit pembangkang mewakili 11 daripada 28 kerajaan negeri di India dan kini telah berganding bahu untuk bertanding pada pilihan raya tahun depan atas landasan yang sama.

"Ia adalah satu pencapaian yang hebat bagi kami bahawa semua 26 parti yang sehaluan telah bersatu," kata Kharge.

Kharge berkata gabungan parti itu bersatu untuk menyelamatkan "demokrasi dan perlembagaan".

"Ini adalah perjuangan kolektif menentang pengangguran, inflasi dan isu utama lain yang sedang dihadapi oleh negara," katanya.

"INDIA" akan membentuk jawatankuasa penyelaras seramai 11 ahli untuk membangunkan strategi menghadapi BJP dan sekretariat akan ditubuhkan di Delhi bagi menguruskan kempen mereka.

Pemimpin utama yang menghadiri mesyuarat di Bengaluru termasuk ketua menteri Tamil Nadu M.K. Stalin, ketua menteri West Bengal Mamata Banerjee, ketua menteri Delhi Arvind Kejriwal, ketua menteri Bihar Nitish Kumar bersama ahli politik terkemuka Sonia Gandhi, Rahul Gandhi, Akhilesh Yadav, Lalu Prasad Yadav dan Sharad Pawar.

-- BERNAMA