DUNIA

Pakistan, Afghanistan setuju gencatan senjata serta-merta selepas pertumpahan darah di sempadan

Agensi 19/10/2025 | 01:20 MYT
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif (kanan) dan rakan sejawatannya dari Afghanistan Mullah Yaqoob menandatangani perjanjian gencatan senjata di Doha, Qatar, pada 18 Oktober 2025. - Gambar Agensi
ISLAMABAD: Pakistan dan Afghanistan mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dalam rundingan damai yang berlangsung di Doha, Qatar, selepas seminggu pertempuran sengit di sempadan kedua-dua negara.

Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan memaklumkan, persetujuan itu dicapai hasil rundingan yang dimediasi oleh Qatar dan Turkiye, susulan keganasan terburuk antara kedua-dua negara sejak Taliban mengambil alih kuasa di Kabul pada 2021.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak turut bersetuju mengadakan mesyuarat susulan dalam masa terdekat bagi memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan serta disahkan pelaksanaannya.

Rundingan damai berkenaan diketuai oleh Menteri Pertahanan Afghanistan, Mullah Muhammad Yaqoob, dan Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif.

Kementerian Luar Pakistan menjelaskan, rundingan tertumpu kepada langkah segera menamatkan keganasan rentas sempadan yang berpunca dari wilayah Afghanistan dan mengembalikan keamanan di sepanjang sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu.

Pertempuran darat dan serangan udara Pakistan dilaporkan tercetus selepas Islamabad menuduh Kabul gagal mengawal militan yang menyerang dari tempat perlindungan di Afghanistan.

Pakistan menolak dakwaan Taliban bahawa tenteranya menyebarkan maklumat palsu mengenai Afghanistan, sebaliknya mendakwa kumpulan ekstremis yang berjuang menggulingkan kerajaan Pakistan itu dilindungi oleh rejim Taliban.

Pada Jumaat, satu serangan nekad berhampiran sempadan mengorbankan tujuh anggota tentera Pakistan dan mencederakan 13 yang lain.

Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir menegaskan, rejim Afghanistan perlu mengekang kumpulan proksi yang menggunakan wilayah mereka untuk melancarkan serangan ke atas Pakistan.

Namun, jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid mendakwa, Pakistan melancarkan serangan udara di wilayah mereka beberapa jam selepas gencatan senjata dilanjutkan, dengan sasaran dikatakan mengenai kawasan awam.

Kabul dalam masa sama mengarahkan pejuang mereka supaya menahan diri daripada membalas serangan demi menghormati rundingan damai yang sedang berlangsung.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar pula menafikan tuduhan itu dan menjelaskan serangan berkenaan menyasarkan kem militan Islamis, bukan orang awam, dengan lebih 100 militan dilaporkan terbunuh.

Susulan ketegangan tersebut, Afghanistan mengambil keputusan menarik diri daripada siri jelajah T20 antarabangsa di Pakistan bulan depan selepas tiga pemain kriket tempatan terbunuh dalam serangan udara di wilayah Paktika yang didakwa dilakukan oleh tentera Pakistan. - Agensi





#pakistan-afghanistan #gencatan senjata #Taiban #Kementerian Luar Qatar