[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
DUNIA

Pakistan tutup pintu sempadan dengan Afghanistan susulan insiden berbalas tembakan

Bernama 12/10/2025 | 09:39 MYT
Pakistan pada Ahad menutup beberapa pintu sempadan utamanya dengan Afghanistan selepas pasukan keselamatan kedua-dua negara berbalas tembakan sepanjang malam. - Foto REUTERS
ISLAMABAD: Pakistan pada Ahad menutup beberapa pintu sempadan utamanya dengan Afghanistan selepas pasukan keselamatan kedua-dua negara berbalas tembakan sepanjang malam, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Pakistan menutup pintu sempadan Torkham dan Chaman dengan Afghanistan selepas pertempuran berat antara pasukan keselamatan kedua-dua negara.
  • Pakistan mendakwa Afghanistan memulakan serangan tanpa provokasi terhadap orang awam, manakala kedua-dua pihak saling tuduh dan menggunakan artileri, jet pejuang serta dron.
  • Ketegangan meningkat di rantau itu dengan negara seperti Arab Saudi dan Qatar menyeru kedua-dua pihak bertenang, susulan dakwaan Pakistan terhadap Taliban melindungi militan.


Seorang pegawai keselamatan berkata pintu sempadan Torkham di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan Chaman di wilayah barat daya Balochistan ditutup sepenuhnya.

Media tempatan menyiarkan rakaman video serta memetik sumber keselamatan yang mendakwa Pakistan menawan sekurang-kurangnya 19 pos kawalan sempadan Afghanistan, dengan laporan mengenai beberapa korban di pihak Afghanistan.

Sumber keselamatan turut mendakwa bahawa Pakistan menggunakan artileri berat, kereta kebal, jet pejuang dan dron dalam pertempuran itu, manakala kedua-dua pihak mendakwa menyebabkan kerugian besar terhadap pihak lawan.

Setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai sama ada pertempuran yang bermula malam tadi berakhir.

Menteri Dalam Negeri Pakistan,Mohsin Naqvi, mengecam serangan "tanpa provokasi" oleh pasukan Afghanistan yang menyasarkan orang awam.

"Tembakan oleh pasukan Afghanistan ke arah penduduk awam merupakan pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui akaun rasminya di platform X.

Beliau turut menuduh Afghanistan "bermain dengan api dan darah" dan menegaskan bahawa Pakistan akan bertindak balas bagi menghalang ancaman pada masa hadapan.

Ketegangan di sempadan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu termasuk Arab Saudi, yang mempunyai perjanjian pertahanan bersama dengan Pakistan, selain Qatar dan beberapa negara lain yang menyeru agar kedua-dua pihak menunjukkan tindakan berhemah.

Awal minggu ini, Pakistan melancarkan serangan udara menggunakan dron dan jet pejuang di Afghanistan, termasuk di Kabul, dengan sasaran terhadap militan Islam yang dipercayai bertanggungjawab ke atas peningkatan serangan di Pakistan.

Islamabad menuduh kerajaan Taliban di Afghanistan memberi sokongan atau sekurang-kurangnya melindungi kumpulan berkenaan, meskipun diberi amaran beberapa kali.

-- BERNAMA


#Pakistan #Afghanistan #tutup pintu sempadan #berbalas tembakan