SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) mengikrarkan bantuan kemanusiaan bernilai S$50,000 (S$1=RM3.17) bagi menyokong usaha tindak balas segera dan bantuan susulan banjir kilat yang membawa kemusnahan besar berhampiran sempadan Nepal-China.
Dalam satu kenyataan, SRC memaklumkan bantuan itu termasuk pengagihan air minuman dan bekalan kecemasan seperti kain terpal, selimut, alas tidur, kit pertolongan cemas dan beg mayat.
SRC juga akan melancarkan rayuan pengumpulan dana awam bermula Jumaat bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana itu.
“Dana yang dikumpul akan disalurkan menerusi Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta rakan kemanusiaan lain bagi menyokong operasi di lapangan dan menangani keperluan kemanusiaan mengikut perkembangan situasi di kawasan terjejas,” menurut SRC pada Khamis.
SRC memaklumkan pihaknya turut mengaktifkan perkhidmatan Memulihkan Hubungan Keluarga (RFL), yang membantu menghubungkan semula individu yang terputus hubungan susulan kecemasan.
“Mereka yang terputus hubungan dengan anggota keluarga atau kehilangan orang tersayang di Nepal atau Tibet boleh menghubungi SRC untuk mendapatkan bantuan tanpa mengira kewarganegaraan. Mereka boleh menghantar e-mel ke [email protected] untuk mendapatkan bantuan,” menurut SRC.
Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC Benjamin William berkata organisasi itu memantau rapat situasi berkenaan dan bersedia mengerahkan pasukan bagi membantu rakan kongsinya di lapangan.
“Infrastruktur kritikal mengalami kerosakan teruk, sekali gus menyukarkan usaha untuk sampai dan menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas. Terdapat amaran mengenai banjir susulan dan skala kemusnahan mungkin terus meningkat,” katanya.
-- BERNAMA