DUNIA

Palang Merah terima mayat tebusan Israel daripada Hamas di Gaza

Astro Awani 17/10/2025 | 22:00 MYT
Penduduk Palestin memerhati anggota kumpulan bersenjata Hamas menjalankan pencarian mayat tebusan di kawasan Hamad City, Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP
GAZA: Tentera Israel mengesahkan bahawa Palang Merah telah menerima mayat seorang tebusan Israel daripada Hamas di selatan Semenanjung Gaza awal pagi ini.


Ringkasan AI
  • Palang Merah terima mayat tebusan Israel daripada Hamas di selatan Gaza sekitar jam 4 pagi waktu Malaysia, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gencatan senjata.
  • Mayat ditemui di Hamad City, Khan Younis, dan diserahkan melalui konvoi Palang Merah dengan kerjasama tentera Israel.
  • Hamas kekal komited memulangkan baki mayat tebusan, sambil menggesa pembukaan semula lintasan Rafah untuk bantuan kemanusiaan.


Penyerahan ini berlaku sekitar jam 4 pagi waktu Malaysia, susulan kenyataan Hamas bahawa mereka akan menyerahkan mayat tersebut sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gencatan senjata yang sedang berlangsung.

Mayat berkenaan ditemui di kawasan Hamad City, Khan Younis, hasil operasi pencarian oleh anggota Briged Al-Qassam.

Menurut tentera Israel, proses penyerahan dilakukan dengan kerjasama Palang Merah, yang telah menghantar konvoi ke lokasi yang dipersetujui.

Mayat itu kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Israel untuk proses forensik dan pengesahan identiti.

Hamas sebelum ini menyatakan komitmen untuk memulangkan semua baki mayat tebusan yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat serangan udara.

Kumpulan itu turut menggesa pembukaan semula lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir bagi memudahkan bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan penuh gencatan senjata.

Konflik yang berlarutan sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin dan menyebabkan lebih 170,000 cedera, manakala serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 menyebabkan 1,139 kematian di Israel.






#Hamas #Israel #mayat tebusan #gencatan senjata