KUALA LUMPUR: Generasi muda Malaysia perlu terus melihat isu Palestin sebagai isu kemanusiaan bersama dan tidak membiarkan perkembangan konflik global lain mengalihkan perhatian daripada nasib rakyat Palestin.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, perubahan landskap geopolitik dan kemunculan konflik baharu berpotensi menyebabkan perhatian masyarakat dunia terhadap Palestin semakin berkurangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia itu, keadaan berkenaan memerlukan gerakan masyarakat sivil menggunakan pendekatan lebih kreatif bagi memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, antara cabaran yang perlu ditangani ialah kewujudan naratif tertentu dalam ruang digital mengenai perang Israel ke atas Palestin, termasuk bagaimana peristiwa 7 Oktober 2023 diceritakan kepada masyarakat.
“Kekhuatiran kita bila tiada counter narrative, maka gambaran kita tentang 7 Oktober apa? Mungkin kita anggap itu adalah self-defence Israel,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata, gerakan solidariti perlu memperbanyakkan kandungan dan pendekatan yang boleh memberikan naratif alternatif menerusi platform yang dekat dengan generasi muda.
Ia termasuk penggunaan media sosial, teknologi serta komuniti permainan video sebagai medium untuk meningkatkan kesedaran dan menyampaikan mesej kerbersamaan.
Beliau mengambil contoh bagaimana komuniti permainan seperti Roblox pernah digunakan bagi menghasilkan bentuk demonstrasi dan solidariti secara maya.
Menurut Ahmad Fahmi, usaha advokasi tidak seharusnya terhad kepada kaedah konvensional seperti demonstrasi, kutipan dana atau program kemanusiaan semata-mata, sebaliknya perlu berkembang mengikut perubahan cara generasi baharu mendapatkan maklumat dan berkomunikasi.
Beliau turut melihat penglibatan anak muda di beberapa negara sebagai petunjuk bahawa solidariti terhadap Palestin masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan menerusi gerakan masyarakat, institusi pendidikan dan platform digital.
Namun, Ahmad Fahmi berkata, persoalan penting kini ialah sejauh mana generasi muda di Malaysia sendiri masih merasakan perjuangan Palestin mempunyai kaitan dengan mereka.
“Persoalan kepada generasi muda Malaysia, adakah mereka masih lagi melihat isu ini sebagai isu kita, isu mereka, atau ini adalah merupakan isu bersama?” katanya.
Justeru, beliau berpandangan gerakan masyarakat sivil perlu terus mencari pendekatan baharu bagi memastikan isu Palestin tidak sekadar muncul ketika berlaku serangan besar, tetapi kekal sebagai sebahagian daripada kesedaran masyarakat mengenai isu kemanusiaan dan keadilan.
Agenda AWANI: Tiga Tahun Genosid, Gaza Terus Menderita