Palestin terus diratah, kesatuan kita pula dicabar

Himpunan Aman menolak kekejaman tentera Zionis di bangunan Konsulat Israel di Istanbul. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI
ISTANBUL: Genap dua tahun sejak serangan rejim Zionis ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, Palestin masih meratapi kejahatan tidak berkesudahan yang dilakukan Israel ke atas bumi permai itu.
Tidak keterlaluan dikatakan luka yang menggores Gaza kali ini adalah yang paling parah dalam sejarah moden manusia.
Gaza tidak lagi sekadar sebuah wilayah bergolak - ia kini menjadi simbol ketabahan, penderitaan dan kegagalan kolektif dunia dalam menegakkan keadilan.
Seluruh dunia tahu, Israel itu kejam. Tetapi kali ini, kekejamannya bukan lagi sekadar khabar angin atau laporan diplomatik.Ia kini terakam rapi dalam resolusi tinggi di tangan jutaan saksi mata yang terdiri daripada rakyat biasa melalui telefon pintar mereka.
Gelombang kesedaran global
Sejak dua tahun lalu, dianggarkan lebih 20 bilion tontonan direkodkan di pelbagai platform media sosial meliputi TikTok, Facebook, Instagram, X dan YouTube terutamanya bagi kandungan berkaitan tragedi di Palestin.
Itu belum termasuk ribuan video yang disekat atau diturunkan atas alasan “melanggar garis panduan komuniti” hanya kerana berkongsi realiti penderitaan rakyat yang diserang di Gaza.
Dalam dunia yang kononnya meraikan kebebasan bersuara, suara rakyat Palestin serta suara penentangan bagi pihak mereka tetap cuba dibungkam bukan dengan senjata, tetapi dengan algoritma.
Namun, angka tontonan ini membawa makna besar. Ia bukti bahawa dunia melihat, mendengar, dan peduli.
Tetapi persoalan yang lebih besar, adakah dunia bertindak?
Kita sering tersilap menilai bahawa kesedaran bermakna perubahan.
Padahal, kesedaran tanpa tindakan hanya menjadikan kita penonton tragedi yang bersorak dalam diam,
berkongsi tanpa berbuat apa-apa.
Realitinya, setiap kali peluru baru dilepaskan, setiap kali pengeboman berlaku, dunia Islam terbahagi semula.
Masing-masing mencari jalan “diplomatik” tetapi gagal mencapai langkah kolektif yang mampu menggugat dasar apartheid Israel.
Kesatuan kita teruji bukan pada jumlah doa atau posting solidariti, tetapi pada kemampuan kita bertindak dalam satu suara.
Kebaikan daripada penerbitan di media sosial
Di sebalik segala kesakitan, wujud sisi kebaikan yang lahir daripada kuasa media sosial.
Setiap kejadian, setiap detik penderitaan dan keberanian rakyat Palestin kini dirakam, dikongsi dan disimpan
sebagai bahan bukti.
Tidak ada lagi ruang untuk menafikan kebenaran atau memutar belit fakta.
Dunia kini menjadi saksi langsung kepada sejarah yang sedang ditulis dengan darah dan air mata.
Lebih penting lagi, semua rakaman ini menjadi bukti digital yang disokong oleh data lampau untuk tujuan
pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Rakaman serangan ke atas hospital, sekolah, masjid, hingga suara anak kecil yang mencari keluarga di bawah runtuhan semuanya kini direkodkan sebagai bukti jenayah perang yang tidak akan padam dengan masa.
Kuasa teknologi bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi mengabadikan kebenaran.
Segala perkongsian ini turut membawa kepada kesedaran umum bahawa isu Palestin bukan hanya soal agama, tetapi soal kemanusiaan sejati.
Masyarakat dunia mula memahami bahawa penderitaan rakyat Palestin mencerminkan nilai yang semakin hilang dalam peradaban moden iaitu empati, maruah diri dan keadilan.
Kelesuan protes dan percanggahan pendapat
Namun, dalam gelombang solidariti ini, muncul satu fenomena baharu kelesuan protes.
Kerencaman media sosial yang terlalu lama memungkinkan keletihan emosi dan moral.
Mana tidaknya, pengguna setiap hari dihidangkan dengan cerita kejam, serangan yang meruntuhkan
infrastruktur asas dan kematian kanak-kanak.
Hidangan yang sama berulang-ulang menjadikan sebahagian masyarakat mula melihatnya sebagai “berita rutin.”
Dalam era digital yang penuh gangguan, manusia kini terbiasa menonton derita orang lain seperti menonton siri dokumentari sekejap tersentuh, kemudian kembali ke hiburan seterusnya.
Bagi pencipta kandungan pula, tekanan untuk mengekalkan perhatian khalayak menjadikan mereka terpaksa melakukan kelainan demi mendapatkan tontonan dan ‘engagement.’
Maka, timbul pelbagai pendekatan dan naratif yang kadang-kala menimbulkan perdebatan.
Ada yang menuduh kandungan terlalu melankolik, ada pula yang menuduhnya terlalu politikal.
Semua ini berpunca daripada satu keinginan yang sama iaitu mahu dunia terus peduli.
Tetapi jika tidak diurus dengan matang, percanggahan ini boleh menggugat kesatuan naratif perjuangan.
Ketika musuh menggunakan strategi komunikasi yang tersusun dan berdisiplin, kita pula terperangkap dalam perdebatan sesama sendiri tentang siapa terpaling tulen dan siapa terpaling betul.
Kesatuan kita harapan mereka yang menderita
Dua tahun ini membuktikan bahawa perjuangan Palestin bukan sekadar perjuangan rakyat Gaza, tetapi ujian untuk seluruh umat manusia.
Media sosial telah membuka ruang kepada kebenaran untuk bersuara, tetapi tanggungjawab kita tidak boleh
berhenti di situ.
Setiap perkongsian mesti disertai tindakan sebenar melalui tekanan politik, bantuan kemanusiaan, pendidikan dan pembinaan naratif yang jujur serta berprinsip.
Kita mesti sedar bahawa kekuatan sebenar bukan pada jumlah tontonan, tetapi pada jumlah tindakan.
Selagi ada anak kecil yang menangis di bawah runtuhan, selagi ada ibu yang kehilangan anak, selagi itu dunia ini tidak boleh mendabik dada sebagai bertamadun.
Selagi Palestin terus diratah, persoalan yang harus kita tanyakan berulang kali ialah: "Adakah kita masih bersatu atau sudah selesa menjadi penonton sejarah?"
* Hilal Azmi merupakan Ketua Editor Media Sosial yang kini berada di Istanbul, Turkiye untuk membawakan perkembangan terkini pembebasan aktivis flotilla yang diculik tentera Israel.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami