Palestin usaha dapatkan bantuan antarabangsa untuk hapuskan bahan letupan di Gaza

Terdapat lebih 20,000 bom yang tidak meledak masih berada di Gaza, menimbulkan ancaman serius kepada orang awam. - Reuters
RAMALLAH: Kerajaan Palestin pada Selasa memaklumkan yang ia bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk menghapuskan bahan letupan yang tidak meledak di Gaza, lapor Xinhua.
Tinjauan lapangan, penandaan kawasan tercemar dan latihan untuk kakitangan tempatan telah dimulakan di Gaza, manakala Pusat Tindakan Periuk Api Palestin sedang berusaha membentuk satu gabungan antarabangsa yang lebih luas bagi tugasan itu sebaik sahaja pasukan teknikal dapat beroperasi di wilayah berkenaan, menurut kenyataan media kerajaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel "masih tidak membenarkan pengeluaran sisa perang dan menghalang kemasukan peralatan yang diperlukan untuk memulakan operasi," menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu memberi amaran bahawa lebih 20,000 bom yang tidak meledak masih berada di Gaza, menimbulkan ancaman serius kepada orang awam.
Organisasi Palestin yang beroperasi di Gaza melaporkan yang bahan letupan itu meragut kira-kira 52 nyawa dan mencederakan ramai lagi sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober 2023.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


