INTERNATIONAL
AS, Panama meterai perjanjian laluan percuma kapal perang AS di Terusan Panama
Trump sebelum ini menyatakan pentadbirannya telah memulakan langkah untuk mengembalikan kawalan AS terhadap Terusan Panama. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Panama memeterai satu perjanjian rangka kerja yang memberi keutamaan dan pengecualian bayaran kepada kapal perang tentera AS untuk melalui Terusan Panama, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami turut menandatangani perjanjian asas bersama Menteri Hal Ehwal Terusan bagi membolehkan kapal tentera dan kapal sokongan AS diberi keutamaan dan pengecualian bayaran ketika menggunakan Terusan Panama," kata Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth, kepada media selepas lawatannya ke Panama.
Pada 8 April lalu, Hegseth melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Panama untuk menghadiri Persidangan Keselamatan Amerika Tengah 2025 (CENTSEC) serta mengadakan pertemuan dengan pegawai pertahanan dari negara-negara rakan kongsi.
Pada Mac lalu, NBC News melaporkan bahawa Rumah Putih mengarahkan Pentagon untuk merangka pelan peningkatan kehadiran ketenteraan di Panama, sebagai sebahagian daripada strategi Presiden Donald Trump untuk mendapatkan semula pengaruh Amerika Syarikat ke atas terusan itu.
Dalam ucapannya kepada Kongres pada 5 Mac, Trump menyatakan bahawa pentadbirannya telah memulakan langkah untuk mengembalikan kawalan AS terhadap laluan penting berkenaan.
-- BERNAMA