PENTADBIRAN Makanan Dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) menolak rancangan suntikan penggalak Pfizer kepada warga negara itu.

Keputusan pungutan suara pada Jumaat yang mendapati 16 menolak dan dua menyokong, adalah satu tamparan terhadap usaha Joe Biden untuk meningkatkan perlindungan di saat terjadi penularan jangkitan COVID-19 akibat varian Delta.

"Adakah data keselamatan dan keberkesanan dari ujian klinikal menyokong kelulusan dos penggalak Comirnaty yang diberikan sekurang-kurangnya enam bulan setelah selesai dos utama, untuk digunakan pada individu berusia 16 tahun dan ke atas?" soal Dr Arnold Monto, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Vaksin FDA.

Sementara itu, Kathleen Hayes, Pegawai Persekutuan FDA berkata: "Undian ini tidak lulus kerana majoriti memilih untuk menolak."

Selama beberapa jam perbincangan, ahli panel FDA menyuarakan kekecewaan apabila Pfizer hanya memberikan sedikit data mengenai keselamatan dos tambahan.

Katanya, data yang diberikan oleh penyelidik mengenai keselamatan dos penggalak adalah tidak sesuai dengan keadaan semasa AS.