DUNIA

Panel vaksin AS tarik balik saranan vaksin COVID-19 untuk orang dewasa

Agensi 20/09/2025 | 01:15 MYT
Panel vakis memutuskan untuk tidak lagi mengesyorkan semua orang dewasa mengambil suntikan vaksin COVID-19 yang sejak pandemik sebelum ini menjadi amalan rutin tahunan bagi kebanyakan rakyat AS. - Gambar hiasan
WASHINGTON: Sebuah jawatankuasa penasihat vaksin utama Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk tidak lagi mengesyorkan semua orang dewasa mengambil suntikan vaksin COVID-19 yang sejak pandemik sebelum ini menjadi amalan rutin tahunan bagi kebanyakan rakyat AS.

Advisory Committee on Immunization Practices (Acip) turut menolak cadangan supaya vaksin COVID-19 diberikan melalui preskripsi.

Sebaliknya, keputusan sama ada mahu menerima suntikan diserahkan kepada individu selepas berbincang dengan pakar perubatan masing-masing, termasuk bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Perubahan dasar itu dibuat selepas Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr – yang diketahui skeptikal terhadap vaksin – memecat semua 17 ahli panel asal pada Jun lalu dan melantik pengganti pilihannya sendiri.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan.

Acip sebelum ini mengadakan mesyuarat selama dua hari yang turut menyaksikan mereka mengubah saranan terhadap vaksin campuran campak, beguk, rubela dan cacar air (MMRV), selain menangguhkan undian mengenai vaksin hepatitis B.

Langkah terbaru ini menambah kontroversi apabila kerajaan Persekutuan pada Mei lalu turut menghentikan saranan pemberian vaksin COVID-19 kepada wanita hamil sihat dan kanak-kanak.

Dalam sesi perbahasan, sekutu Kennedy, Dr Robert Malone mendakwa, tiada bukti suntikan COVID-19 mencegah jangkitan serius.

Namun, pakar lain seperti Dr Cody Meissner, bekas anggota panel vaksin FDA, menegaskan data yang ada menunjukkan vaksin itu berkesan mengurangkan risiko jangkitan.

Sementara itu, keputusan berhubung vaksin MMRV pada mulanya mencetuskan kekeliruan apabila panel mengundi menolak pemberian suntikan gabungan kepada kanak-kanak bawah empat tahun, sebelum akhirnya menyokong dua suntikan berasingan – satu untuk campak, beguk dan rubela, dan satu lagi khusus untuk cacar air.

Persatuan Perubatan Amerika (AMA) berkata, perubahan itu berpotensi mengelirukan ibu bapa.

Isu vaksin hepatitis B pula masih tergantung selepas Acip menangguhkan undian sama ada bayi yang ibunya didapati negatif semasa hamil wajar menerima suntikan secara automatik.

CDC sebelum ini mengesyorkan vaksinasi hepatitis B sejak 1991, yang terbukti berjaya mengurangkan kes penyakit itu dalam kalangan remaja di bawah 19 tahun.

Sejak mengambil alih jawatan awal tahun ini, Kennedy berdepan kritikan hebat daripada doktor dan pakar kesihatan kerana kerap mempertikai keselamatan serta keberkesanan vaksin.

Beliau turut menggugurkan Ketua CDC, Susan Monarez, pada Ogos lalu selepas enggan menandatangani perubahan dasar vaksin yang menurutnya tidak berlandaskan bukti saintifik – tindakan yang mencetuskan peletakan jawatan beramai-ramai pegawai kanan agensi itu. - Agensi

#COVID-19 #vaksin COVID-19 #Acip #suntikan COVID-19