NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) kini memantau situasi dan perkembangan di Rusia sejajar dengan ketegangan yang meningkat antara Kremlin dan ketua Wagner iaitu kumpulan separa tentera Rusia.

"Kami mengawasi situasi ini dan akan berunding dengan sekutu dan rakan kongsi mengenai perkembangan ini," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adam Hodge dalam satu kenyataan.

Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin, menuduh pasukan Rusia menyerang tentera upahannya dan berjanji untuk bertindak balas, tetapi Kementerian Pertahanan Rusia menafikan tuduhan itu pada Jumaat.

Prigozhin menentang pasukan Rusia dan mengancam untuk menyerang sesiapa sahaja yang menghalang pergerakan kumpulannya.

Beliau mendakwa bahawa pasukannya di Ukraine telah melintasi bandar Rusia, Rostov.

Jeneral-jeneral menuduh Prigozhin atas cubaan "rampasan kuasa" sementara panglima tertinggi Rusia di Ukraine, Sergey Surovikin, menggesa pejuang-pejuang Wagner untuk mematuhi arahan Presiden Vladimir Putin.

Jawatankuasa Anti-Terrorisme Kebangsaan Rusia telah membuka kes jenayah terhadap Prigozhin atas tuduhan menghasut dengan melakukan pemberontakan bersenjata dan meminta beliau "menghentikan tindakan haram" itu.

Pihak Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menyeru pejuang-pejuang untuk tidak melaksanakan arahan "jenayah dan pengkhianatan" Prigozhin serta menahan beliau.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata bahawa Putin telah diberi taklimat terperinci mengenai perkara itu dan semua tindakan yang perlu telah diambil.

Sebelum ini, Prigozhin berkongsi mesej suara di Telegram yang mendakwa bahawa pasukan Rusia telah menyerang kumpulan separa tentera beliau.

Selepas serangan roket yang dilaporkan menyasarkan Wagner, Prigozhin menuduh Kementerian Pertahanan Rusia dan secara peribadi bersumpah "menghukum" pelakunya dan Menteri Pertahanan, Sergey Shoygu.

Sejak beberapa bulan lalu, Prigozhin berulang kali menuduh Kementerian Pertahanan Rusia dan Shoygu tidak membekalkan senjata yang mencukupi kepada kumpulan itu.

-- BERNAMA