[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Papan tanda larangan berbogel di tempat umum didirikan di lokasi pesta 'full moon'

Agensi 30/04/2025 | 08:34 MYT
Peraturan itu dikuatkuasakan selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan tentang para pelancong yang tidak segan silu berbogel di temoat awam. - Foto: Polis Koh Phangan
SURAT THANI: Papan tanda yang menegaskan larangan berbogel di tempat awam kini didirikan di banyak kawasan pantai di Koh Phangan, Thailand, yang menjadi lokasi popular sambutan pesta 'full moon'.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, peraturan itu dikuatkuasakan selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan tentang para pelancong yang tidak segan silu berbuat demikian.
Pada Rabu, pihak berkuasa memacakkan papan tanpa peringatan tersebut dan mengedarkan risalah kepada pengunjung dan pengusaha bisnes di pulau percutian berkenaan, termasuk restoran dan hotel.
Berbogel di tempat awam menjadi larangan di Thailand dan mereka yang melanggarnya akan dibatalkan visa kunjungan, tegas Ketua Polis Koh Phangan, Apichart Chansamret.
Jelasnya, terdapat aduan mengenai pelancong asing yang berenang, berjemur, bermain muzik, melukis dan menjalankan aktiviti rekreasi tanpa seurat benang di Secret Beach dan Zen Beach.
“Mereka datang ke pantai untuk beristirahat, dan mengetahuinya dari mulut ke mulut tentang betapa cantik dan tenang kawasan pantai itu.
"Bagaimanapun, perlu difahami bahawa berbogel di tempat awam adalah bertentangan dengan undang-undang Thailand. Mereka boleh dikenakan denda sehingga 5,000 baht (RM646)," katanya.
Seorang penduduk Koh Phangan, Thawil Ruangthong berkata, pelbagai jenis pelancong mengunjungi pulau berkenaan, dengan ada antara mereka sengaja berjalan dalam keadaan berbogel di tempat umum sekali gus tidak menghormati budaya setempat.
Kempen larangan itu adalah susulan daripada penangkapan pasangan dari Poland yang ditemui bertelanjang dan berpelukan di tengah jalan di pulau itu pada Isnin lalu.
#Pesta full moon #larangan berbogel #Koh Phangan #Thailand #Pelancong asing