[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
DUNIA

Parlimen EU memperluas kuasa gantung perjalanan bebas visa

Bernama 08/10/2025 | 02:00 MYT
Bangunan Parlimen Eropah dilihat menjelang ucapan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengenai EU, di Strasbourg, Perancis, 10 Sept 2025. - Gambar fail/REUTERS
STRASBOURG: Parlimen Eropah pada Selasa meluluskan pembaharuan yang memudahkan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan semula keperluan visa terhadap warga negara bukan EU yang kini menikmati pengecualian visa untuk lawatan jangka pendek, lapor agensi berita Jerman dpa.

Perubahan itu memperluas senarai sebab bagi menggantung perjalanan bebas visa, termasuk pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keengganan mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa, kegagalan menyelaraskan dasar visa dengan EU atau pengenalan skim kerakyatan berasaskan pelaburan, kadangkala digelar "pasport emas", yang menawarkan kewarganegaraan sebagai pertukaran kepada bayaran dan membolehkan perjalanan lebih bebas di Eropah.

Perjalanan tanpa visa bagi pegawai kerajaan juga boleh digantung sekiranya mereka didapati terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan lain.

Mekanisme asas untuk mengenakan semula visa telah pun wujud, yang sebelum ini dicetuskan, contohnya, oleh peningkatan mendadak permohonan suaka dari negara tertentu. Peraturan baharu ini memberi EU lebih fleksibiliti untuk mengaktifkan "brek kecemasan" itu dan boleh digunakan sebagai tekanan sekiranya sesebuah negara gagal bekerjasama dalam isu migrasi atau hal lain.

Pembaharuan itu melibatkan 61 negara, termasuk Israel, Georgia, Venezuela, Ukraine dan Serbia, yang rakyatnya kini dibenarkan memasuki kawasan Schengen Eropah tanpa visa bagi tempoh sehingga 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari.

Perundangan itu masih perlu diluluskan secara rasmi oleh Majlis EU dan akan berkuat kuasa 20 hari selepas diterbitkan dalam Jurnal Rasmi Kesatuan Eropah.

-- BERNAMA



#Kesatuan Eropah #parlimen eropah #Visa #perjalanan