Parlimen EU sokong peraturan lebih ketat bagi permainan kanak-kanak

Di bawah undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen Eropah pada Selasa, komponen utama keperluan baharu ialah pasport produk digital, yang perlu dimiliki setiap permainan kanak-kanak yang dijual di EU pada masa hadapan. - Gambar hiasan
STRASBOURG : Parlimen Eropah pada Selasa meluluskan garis panduan lebih ketat bagi penjualan permainan kanak-kanak di Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Di bawah undang-undang baharu itu, beberapa bahan kimia tertentu akan diharamkan dan lebih banyak tanggungjawab akan dikenakan ke atas platform pasaran dalam talian bagi melindungi kanak-kanak di EU daripada permainan yang tidak selamat.
Komponen utama keperluan baharu ialah pasport produk digital, yang perlu dimiliki setiap permainan yang dijual di EU pada masa hadapan.
Pasport ini akan mengandungi maklumat keselamatan berkaitan yang boleh diakses melalui kod respons pantas, membolehkan pengguna serta pihak kastam menyemak dengan mudah sama ada permainan mematuhi keperluan yang ditetapkan.
Selain itu, senarai bahan terlarang dalam permainan akan diperluas.
Keperluan baharu ini akan mengharamkan pengganggu endokrin - bahan yang menjejaskan sistem hormon - serta penggunaan secara sengaja bahan kimia kekal atau PFAS, iaitu bahan berterusan yang boleh terkumpul dalam alam sekitar dan tubuh manusia. Bahan biosid pula hanya boleh digunakan jika permainan itu direka khas untuk kegunaan luar.
Undang-undang baharu EU itu masih perlu diterima pakai oleh negara anggota, yang dianggap sebagai formaliti.
Sebaik sahaja diterima pakai secara rasmi, akan terdapat tempoh peralihan selama 4.5 tahun bagi memberi ruang kepada industri melaksanakan keperluan baharu itu. Peraturan berkenaan dijangka berkuat kuasa paling awal pada 2029.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


