BANGKOK: Dewan Perwakilan Thailand menolak usul untuk menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji projek mega Land Bridge bernilai 1 trilion baht (kira-kira RM122 bilion).
Keputusan itu dibuat selepas barisan Ahli Parlimen kerajaan berpandangan penilaian menyeluruh terhadap projek berkenaan telah dilakukan dan kajian tambahan hanya akan bertindih dengan usaha sedia ada.
Dalam sesi pengundian pada Jumaat, seramai 266 ahli parlimen menolak usul tersebut, manakala 174 menyokong dan tiga lagi berkecuali, lapor Bangkok Post.
Projek di bawah Koridor Ekonomi Selatan (SEC) itu melibatkan pembinaan laluan pengangkutan darat yang menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman.
Penyokong projek, yang sebahagian besarnya daripada Parti Bhumjaithai, berkata kerajaan sebelum ini telah melantik panel pakar bagi menilai kesan ekonomi, alam sekitar dan sosial secara menyeluruh.
Seorang wakil kerajaan berkata pihak yang mencadangkan jawatankuasa baharu disaran mengemukakan dapatan dalam bentuk laporan komprehensif untuk dipertimbang Kabinet.
Sementara itu, pihak pembangkang membangkitkan kebimbangan mengenai daya maju kewangan projek tersebut.
Mereka turut mempersoalkan sama ada laluan darat itu mampu menjadi alternatif yang lebih menjimatkan berbanding laluan perdagangan di Selat Melaka.
Selain itu, isu kesan terhadap ekosistem marin, sektor pelancongan serta pampasan kepada komuniti nelayan di wilayah Ranong dan Chumphon turut dibangkitkan.
Susulan keputusan tersebut, hala tuju serta pelaksanaan projek Land Bridge kini akan ditentukan di peringkat Kabinet.