[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Parti Buruh Norway menang pilihan raya, PM Jonas Gahr Store kekal berkuasa

Agensi 08/09/2025 | 23:20 MYT
Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Jonas Gahr Store berjaya mempertahankan kuasa untuk empat tahun lagi selepas meraih kemenangan pada pilihan raya umum Norway seperti diumumkan pada Isnin - Gambar Reuters
OSLO: Parti Buruh Norway berjaya mempertahankan kuasa untuk empat tahun lagi selepas menangkis kebangkitan sokongan terhadap parti populis kanan dalam pilihan raya umum yang menyaksikan persaingan sengit dan berpolarisi.

Keputusan awal sejurus pusat mengundi ditutup menunjukkan blok kiri-tengah meraih 89 kerusi, berbanding blok kanan-tengah dengan 80 kerusi.

Majoriti memerlukan sekurang-kurangnya 85 kerusi.

Dua jam kemudian, dengan 99 peratus undi selesai dikira, keputusan itu kekal, menurut penyiar rasmi negara, NRK.

Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Jonas Gahr Store muncul sebagai parti terbesar, manakala Parti Kemajuan dari blok kanan dilaporkan menggandakan sokongan dalam tempoh empat tahun lalu.

Sebaliknya, Parti Konservatif mencatat prestasi terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Isu kos sara hidup dominasi kempen

Pilihan raya kali ini banyak dipengaruhi isu kos sara hidup, cukai kekayaan, pelaburan dana minyak Norway di Israel serta hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Parti Kemajuan melonjak sokongan terutama dalam kalangan lelaki muda, fenomena yang digambarkan pemerhati sebagai “Maga-fikasi” politik Norway, merujuk kepada slogan “Make America Great Again” (MAGA).

Malah, timbul spekulasi pemimpin parti itu, Sylvi Listhaug, bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya blok kanan menang.

Namun, keputusan awal mengesahkan Store, 65, yang memegang jawatan sejak 2021, kekal berkuasa.

Bekas Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, yang kembali aktif sebagai Menteri Kewangan, dipercayai memberi suntikan besar kepada kempen Parti Buruh.

Rundingan rumit menanti

Kempen Store bagaimanapun bermula dengan kritikan hebat terhadap cara kerajaan mengurus pelaburan dana minyak negara di Israel.

Isu itu dijangka menjadi cabaran dalam rundingan dengan parti-parti kecil berhaluan kiri untuk membentuk kerajaan.

Ketua sayap belia Parti Buruh, Gaute Borstad Skjervo menyifatkan kemenangan itu sebagai “kebangkitan semula terbesar dalam sejarah politik Norway”, sambil mengakui setahun lalu parti itu dianggap sudah “berakhir”.

“Sekarang Store berjaya memastikan kemenangan semula. Saya angkat topi atas kebangkitan ini,” katanya.

Pengakuan kekalahan blok kanan

Ketua Parti Konservatif, Erna Solberg, 64, mengakui kekalahan partinya dalam ucapan di Oslo.

“Kita boleh nyatakan bahawa Parti Konservatif kini memasuki penggal baharu di Storting sebagai parti pembangkang,” katanya, sambil menambah beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan itu.

Sementara itu, Listhaug, 47, dilaporkan menghubungi Store bagi mengucapkan tahniah.

“Ia luar biasa. Prestasi kami lebih baik daripada jangkaan tinjauan. Jadi ini amat membanggakan,” katanya.

Walaupun gagal membentuk kerajaan majoriti, beliau menegaskan, partinya tetap mempunyai sebab untuk beranggapan seperti pemenang.

Perbandingan serantau

Rekod menunjukkan seramai 1.9 juta rakyat Norway mengundi awal.

Menurut laporan, sebahagian besar undi itu telah dikira sebelum pusat pengundian ditutup.

Walaupun sokongan kepada parti populis kanan meningkat, kemenangan blok kiri-tengah menjadikan Norway berbeza dengan jiran Nordiknya, Sweden dan Finland, yang kini dipimpin kerajaan berhaluan kanan. - Agensi






#Norway #pilihan raya Norway #Parti Buruh #PM Jonas Gahr Store