DUNIA
Parti pemerintah Pheu Thai tolak pembubaran, calonkan Chaikasem sebagai PM

Phumtham menegaskan pembubaran parlimen hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah susulan, dengan menambah bahawa kepastian mesti dicapai terlebih dahulu melalui rundingan yang sedang berlangsung. - Gambar Pheu Thai Party
BANGKOK: Perdana Menteri Sementara Thailand Phumtham Wechayachai pada Selasa menafikan khabar angin bahawa Parti Pheu Thai (PT) yang memerintah merancang untuk membubarkan parlimen, sambil menegaskan rundingan dengan Parti Rakyat (PP) masih berjalan bagi mendapatkan sokongan.
Phumtham, yang juga anggota kanan PT, menegaskan pembubaran parlimen hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah susulan, dengan menambah bahawa kepastian mesti dicapai terlebih dahulu melalui rundingan yang sedang berlangsung.
"Apabila PP dan Parti Bhumjaithai (BJT) mengumumkan pakatan mereka, kami (PT) akan membincangkannya," katanya dalam kenyataan di akaun rasmi X PT pada Selasa.
Phumtham menegaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang persediaan untuk pembubaran dan tidak mempertimbangkan langkah di luar peringkat semasa.Beliau turut menolak dakwaan bahawa PP akan menyokong Anutin Charnvirakul, ketua BJT, sebagai perdana menteri ke-32 negara itu, sambil menegaskan laporan tersebut tidak benar.
Terdahulu, semasa mesyuarat parlimen PT, jurucakap parti Danuporn Punnakanta mengesahkan bahawa parti itu akan menamakan Chaikasem Nitisiri sebagai perdana menteri tanpa undian dalaman.
Beliau menegaskan PT tidak akan sama sekali menyokong calon daripada parti lain.
"Tiada keperluan untuk resolusi mesyuarat bagi mengemukakan nama Chaikasem kerana beliau sudah pun menjadi calon parti. Parti mengesahkan ia sama sekali tidak akan menyokong sesiapa daripada parti lain," katanya.
Mesyuarat PT di ibu pejabat parti pada Selasa turut dihadiri bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, ketua parti Paetongtarn Shinawatra, tokoh kanan Suriya Juangroongruangkit dan Somsak Thepsuthin serta anggota parlimen lain.
Selain Chaikasem dan Anutin, tiga lagi calon yang layak kekal daripada senarai yang dikemukakan sebelum pilihan raya 2023 ialah calon Parti United Thai Nation Pirapan Salirathavibhaga, calon Parti Demokrat Jurin Laksanawisit, dan bekas perdana menteri Prayuth Chan-o-cha, juga dari Parti United Thai Nation.
Sementara itu, media Thai melaporkan hari kedua mesyuarat parlimen PP pada Selasa berakhir tanpa keputusan mengenai cara anggotanya akan mengundi perdana menteri ke-32 negara itu. Ahli parlimen sebaliknya bersetuju menyerahkan perkara itu kepada jawatankuasa eksekutif parti, yang akan membuat keputusan muktamad pada Rabu.
Dewan Perwakilan dijadual bersidang pada 4 dan 5 Sept bagi membahaskan pencalonan perdana menteri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami