Skip to main content

Dunia

Parti Perdana Menteri Czech tewas dalam pilihan raya dewan Senat

Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis, tiba untuk sidang kemuncak EU di bangunan Majlis Eropah di Brussels, 16 Okt 2026. (Foto AP)
Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis, tiba untuk sidang kemuncak EU di bangunan Majlis Eropah di Brussels, 16 Okt 2026. (Foto AP)

Advertisement

PRAGUE: Parti-parti pembangkang Czech mengekalkan majoriti mereka di Senat selepas pusingan kedua pilihan raya berakhir pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Parti pemerintah ANO pimpinan Perdana Menteri Andrej Babiš gagal dalam pusingan penentuan bagi kerusi selebihnya di dewan atas parlimen itu, walaupun meletakkan calon paling ramai pada pusingan kedua.

Dengan hampir keseluruhan undi selesai dikira, parti haluan kanan tengah Mayors and Independents (STAN) muncul sebagai pemenang apabila meraih 10 daripada 27 kerusi yang dipertandingkan merangkumi kedua-dua pusingan.

Parti Civic Democrats (ODS) memenangi tujuh kerusi, Christian Democrats (KDU-CSL) tiga kerusi dan parti konservatif TOP09 meraih dua kerusi. Kerusi selebihnya dimenangi oleh parti-parti kecil.

"Secara terus-terang, kerajaan gagal sepenuhnya dalam pilihan raya ini -- satu kekalahan yang amat mengejutkan," kata Pengerusi TOP09 Matěj Ondřej Havel.

Hanya satu pertiga daripada 81 kerusi di Senat dipertandingkan setiap dua tahun.

Peratusan keluar mengundi adalah rendah seperti yang dijangkakan, iaitu sekitar 21 peratus daripada pengundi yang layak.

Senat Czech mempunyai kuasa untuk menangguhkan perubahan undang-undang serta menyekat pindaan perlembagaan.

 Antara calon pembangkang yang menang termasuk bekas Ketua Turus Am Karel Řehka, ahli sosiologi Zdeněk Papoušek dan pengarah teater Petr Kazík.

Kerajaan yang dibentuk oleh parti ANO pimpinan Babiš bersama dua parti haluan kanan tegar, baru-baru ini meluluskan undang-undang perkhidmatan awam baharu di parlimen.

Pihak yang menentang pindaan itu memprotes bahawa ia memudahkan pemecatan penjawat awam yang tidak dikehendaki.

Pengkritik turut menuduh Babiš berdepan konflik kepentingan yang berterusan sebagai seorang ahli politik merangkap pengasas rangkaian luas syarikat yang menerima manfaat daripada subsidi.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement