Skip to main content

Dunia

Parti Sosialis kekal berkuasa di bandar utama Perancis

French socialist candidate for Paris mayoral election, Emmanuel Gregoire, center right, and former Paris' mayor Bertrand Delanoe, left, celebrate after Gregoire won the second round of France's municipal elections in Paris, France, Sunday, March 22, 2026. (AP Photo/Thibault Camus)
Calon Sosialis Perancis bagi pilihan raya Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire (tengah kanan), bersama bekas Datuk Bandar Paris, Bertrand Delanoë (kiri), ketika meraikan kemenangan. - Foto AP

PARIS: Parti Sosialis Perancis (PS) dan sekutu mereka berjaya mengekalkan kawalan ke atas empat bandar utama negara itu, Paris, Marseille, Lyon dan Lille, dalam keputusan pilihan raya tempatan yang memberikan keyakinan baharu kepada parti-parti arus perdana menjelang pilihan raya presiden tahun depan.

Walaupun kumpulan sayap kiri radikal dan sayap kanan turut mencatatkan beberapa kemenangan, keputusan keseluruhan menunjukkan bahawa pengundi di bandar-bandar utama lebih cenderung kembali menyokong parti tradisional berbanding gabungan kiri-radikal.

Advertisement

Di Paris, Marseille dan Lille, pentadbiran sayap kiri kembali dengan selesa selepas penyandang Sosialis menjauhkan diri daripada parti haluan kiri radikal France Unbowed (LFI) ekoran siri kontroversi, termasuk dakwaan anti-Semitisme dalam kalangan ahli LFI.

Lyon menjadi pengecualian unik apabila Datuk Bandar Gregory Doucet daripada parti ekologi tetap membentuk pakatan dengan LFI, namun masih menang, satu keputusan yang dikaitkan dengan kempen lemah pesaing kanan, ahli perniagaan Jean-Michel Aulas.

Namun, keputusan di bandar lain menekankan kegagalan strategi pakatan antara parti kiri arus perdana dengan LFI.

Kawasan yang lama menjadi kubu kuat Sosialis seperti Clermont-Ferrand dan Brest menyaksikan pengundi beralih ke parti tengah dan kanan.

Begitu juga di Toulouse, Strasbourg, Poitiers, Limoges dan Tulle, kawasan di mana "pakatan malu" antara parti kiri dan parti haluan kiri radikal tidak membawa kemenangan yang diharapkan.

Tulle, kawasan asal bekas presiden PS François Hollande, turut menolak seruan untuk memboikot LFI.

“Kesimpulan saya malam ini ialah LFI tidak menang apa-apa, malah lebih buruk, merekalah punca kekalahan, kata Setiausaha Agung PS, Pierre Jouvet.

LFI memasuki pilihan raya dengan imej tercalar akibat beberapa insiden.

Ini termasuk:

  • Seorang pembantu LFI didakwa menghasut pembunuhan seorang pelajar parti haluan kiri radikal di Lyon.
  • Jean-Luc Mélenchon menimbulkan kemarahan apabila didakwa membuat jenaka mengenai keturunan Yahudi Jeffrey Epstein.

Walaupun demikian, pemimpin LFI Manuel Bompard menegaskan bahawa keputusan di Saint-Denis (pusingan pertama) dan Roubaix (pusingan kedua) menunjukkan kebangkitan gerakan rakyat.

Parti sayap kanan National Rally (RN) gagal memenangi sasarannya di Marseille dan Toulon apabila pihak lawan bersatu menentangnya.

Namun di Nice, pemimpin parti konservatif UDR Eric Ciotti menewaskan penyandang Christian Estrosi, yang dilihat sebagai kemenangan penting bagi blok kanan dan tanda pelonggaran tabu bekerjasama dengan Le Pen.

RN tetap menunjukkan kekuatan di bandar-bandar kecil seperti Montargis, Carcassonne dan La Seyne-sur-Mer, walaupun kehilangan jawatan datuk bandar Villers-Cotterêts.

Parti tengah pro-Macron, Renaissance, meraih kemenangan berharga di Bordeaux apabila bekas menteri Thomas Cazenave, dengan sokongan parti tengah dan kanan, berjaya menumbangkan penyandang daripada parti hijau.

Di Le Havre, bekas Perdana Menteri Édouard Philippe mengekalkan kerusinya, satu langkah penting kerana beliau telah berjanji hanya akan bertanding sebagai calon presiden 2027 jika menang di bandar asalnya.

Keputusan pilihan raya turut memperlihatkan pola berikut:

  • Kekuatan parti haluan kiri radikal meningkat di pinggir bandar besar, kawasan yang dihuni pekerja imigran dan golongan intelektual muda.
  • Sayap kanan radikal RN terus mengukuhkan pengaruh di bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar Perancis.
  • Parti arus perdana (kiri, kanan dan pusat) muncul sebagai pemenang besar, memberi harapan bahawa mereka masih mempunyai peluang kukuh dalam pertandingan dua penjuru menentang calon-calon ekstrem.

Namun persoalan utama tetap menghantui politik Perancis:

Apakah yang akan berlaku jika pusingan akhir pilihan raya presiden melibatkan dua calon daripada aliran ekstrem?

 

 

Must Watch Video