Sepasang kekasih yang ditangkap kerana membuang bayi mereka baru-baru ini akhirnya disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Yuda Setia Dandik, 20, dan pasangannya Rika Nur Safitri, 19, diijab kabulkan dalam satu majlis ringkas di Markas Polis Jombang, semalam.

"Ada permintaan daripada kedua-dua keluarga untuk mereka disatukan dan atas pertimbangan kemanusiaan, kami bantu melancarkan majlis pernikahan mereka.

"Majlis terpaksa diadakan di sini kerana kedua mempelai masih tahanan kami," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Jombang, Gatot Setyo Budi.

Tambah Gatot, pasangan itu berdepan hukuman lima tahun penjara jika disabit bersalah.

Selain terpaksa berbulan madu di penjara, pasangan itu juga tidak dibenarkan melawat bayi mereka yang kini ditempatkan di rumah kebajikan.

Difahamkan, bayi malang berkenaan ditemui masih hidup dan selamat ketika ditinggalkan di hadapan rumah seorang lelaki yang pernah menjadi guru pasangan terbabit.

Sementara itu, Yuda yang menyesali perbuatannya berharap perbicaraan mereka berjalan lancar.

Yuda juga berikrar untuk memulakan kehidupan baharu bersama isteri dan bayi mereka.

Dia juga mengaku tidak berniat untuk membuang bayi tersebut dan menjadikan rumah guru mereka sebagai 'persinggahan' kerana guru terbabit belum dikurniakan cahaya mata.

"Dalam surat yang disertakan bersama bayi itu, saya berjanji untuk kembali. Sebelum beredar, saya bersembunyi di sudut rumah, bila bayi itu diambil baru saya melangkah pergi," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditangkap minggu lalu, selepas mengaku membuang bayi mereka.

Yuda kembali ke rumah guru terbabit keesokan harinya untuk mengambil bayi tersebut kerana menyesal dengan perbuatannya. - Detiknews