DUNIA

Pascabanjir Aceh: 'Kami perlukan bantuan antarabangsa' - Rayu sukarelawan

Seth Akmal 21/12/2025 | 00:30 MYT
Banjir lumpur yang melanda wilayah Serambi Mekah itu menyaksikan lumpur setinggi satu hingga dua meter menenggelamkan rumah penduduk. - Astro AWANI/Seth Akmal.
ACEH: Seorang guru agama, Nur Fadlina Ismail, 55, dari Kampung Blang Awe, berkongsi pengalaman getir terperangkap selama tiga hari tiga malam akibat banjir besar yang melanda kawasan itu pada 26 November lalu.

Fadlina, yang menghidap penyakit buah pinggang dan hanya bergantung kepada satu ginjal, berkata air naik sehingga tiga meter sebelum beliau didukung anaknya ke sebuah dewan berhampiran rumah mereka yang terletak di kawasan lebih tinggi.

“Air naik sampai tiga meter. Anak saya dukung saya ke dewan berhampiran rumah. Kami terperangkap di situ tiga hari tiga malam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada 9 Disember.

Tanpa bekalan air bersih, mereka menadah air hujan melalui tingkap untuk diminum dan berwuduk.

Makanan pula hanya bergantung kepada pisang mentah yang dibekalkan jiran.

“Kami belah sikit-sikit pisang mentah untuk alas perut,” tambahnya.

Banjir lumpur yang melanda wilayah Serambi Mekah itu menyaksikan lumpur setinggi satu hingga dua meter menenggelamkan rumah penduduk.

Ada kediaman yang hilang ditimbus tanah, manakala deretan rumah kedai dan sebuah masjid di lereng sungai runtuh satu demi satu. Kayu balak turut terdampar di tengah kampung, menambah kesukaran operasi menyelamat.

Bencana ini dipercayai berpunca daripada hujan luar biasa akibat Badai Senyar yang melanda Aceh pada 22 November.

Laporan media tempatan menyebut taburan hujan mencecah 400 milimeter dalam tempoh dua hari, meliputi kawasan tadahan seluas 3.3 juta hektar, bersamaan hampir 10 bilion meter padu air yang mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh.

Ratusan wanita, kanak-kanak dan warga emas kini berlindung di dewan dan masjid tanpa bekalan elektrik serta air bersih.

Difahamkan, bekalan elektrik hanya pulih pada minggu ketiga selepas bencana.

Beberapa jambatan utama yang menghubungkan Banda Aceh ke daerah seperti Lhokseumawe dan Takengon turut runtuh, menyebabkan laluan perhubungan terputus.

Dalam keadaan serba kekurangan, penduduk bergelut membersihkan kediaman masing-masing.

Di Kampung Pantee Lhong, Halimah Ismail, 53, ibu tunggal kepada lima anak, tidak dapat menahan sebak melihat rumahnya yang rosak teruk.


Saya tak mampu membersihkan rumah sendiri, hiba Halimah

“Saya tak mampu bersihkan rumah sendiri, terpaksa tunggu anak balik,” katanya sambil mengesat air mata.

Anak-anaknya yang menetap di Lhokseumawe belum dapat pulang kerana jambatan yang terputus, memaksa mereka menyeberang menggunakan perahu dari Kota Blang.

Setakat minggu lalu, hanya dua jambatan darurat, Teupin Manee dan Awe Geutah, berjaya disiapkan oleh kerajaan Indonesia dengan bantuan Tentera Nasional Indonesia (TNI).


Seruan Bantuan Antarabangsa

Pada 15 Disember, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menegaskan bahawa pentadbirannya mampu menangani krisis banjir lumpur dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Sumatera.

Namun, sukarelawan di lapangan berdepan cabaran besar.

Kekurangan logistik dan kemudahan pengangkutan menyukarkan pengedaran bantuan.

Menurut Iqbal Muzammil dari Ikatan Alumni Timur Tengah, bantuan tempatan hanya mampu menampung keperluan asas.

“Kalau hanya harap bantuan jiran dan masyarakat setempat, cukup untuk makanan dan pakaian saja. Tapi tempat tinggal yang selesa dan selamat belum dapat disediakan dalam masa terdekat,” katanya di Bireuen pada 11 Disember.


Iqbal berpendapat pada masa ini bantuan sukarelawan tempatan hanya mampu menampung keperluan asas.

Muhammad Rafiqi dari Karang Taruna, yang bertugas sebagai tukang masak di pos bencana Pidie Jaya, turut menyuarakan keperluan mendesak.

“Kerja pembersihan rumah masih terbengkalai. Kayu dan timbunan tanah masih menutupi kawasan kediaman. Bantuan antarabangsa amat diperlukan, tapi bergantung kepada keputusan pemerintah,” katanya.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), setakat 15 Disember, bencana ini telah merosakkan 8,100 fasiliti awam, 434 rumah ibadat, 219 fasiliti kesihatan, 290 bangunan pejabat, 1,967 institusi pendidikan, 145 jambatan, serta 186,488 buah rumah.

Bagi kami bantuan sukarelawan antarabangsa amat diperlukan, kata Rafiqi



Desakan Rakyat Aceh

Pada 18 Disember, gabungan pertubuhan masyarakat sivil di Aceh mengadakan demonstrasi aman di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat Aceh.

Mereka menuntut kerajaan Indonesia mempercepat pengurusan bencana dan memenuhi hak asasi mangsa banjir serta tanah runtuh.

Masyarakat sivil di Aceh mengadakan demonstrasi aman, menuntut kerajaan Indonesia memenuhi keperluan hak asasi mangsa banjir. kredit x.com/remotivi

Gabungan itu turut mendesak pengisytiharan status Bencana Nasional bagi Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, memandangkan skala kemusnahan yang luas dan keterbatasan kapasiti kerajaan daerah.

Sebagai simbol kekecewaan, warga Aceh mengibarkan bendera putih, menandakan rasa putus asa terhadap respons kerajaan terhadap bencana yang digelar sebagai “tsunami darat”.

Untuk rekod, ketika tsunami 2004 melanda, kerajaan Indonesia mengisytiharkan Bencana Nasional hanya tiga hari selepas tragedi, membolehkan bantuan antarabangsa disalurkan dengan pantas.





#banjir #Aceh #bantuan antarabangsa #Indonesia