Pastikan kad Autopass anda mempunyai jumlah mencukupi kerana bermula tengah malam tadi semua kenderaan bernombor pendaftaran asing akan dikenakan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 (S$1=RM3.13) apabila memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands.

Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengenakan penalti lebih berat kepada pemandu kenderaan yang mengelak bayaran tol, fi serta caj sejak 1 Ogos 2016.

Pesalah kali pertama akan dikenakan denda komposisi S$50 manakala pesalah berulang perlu membayar S$100.

Pemandu kenderaan yang tidak mahu membayarnya akan didakwa di mahkamah serta berdepan dengan denda tidak lebih S$1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan untuk kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Semasa mengumumkan RRC pada 16 Jan lalu, LTA berkata caj itu sebagai timbal balik caj jalan raya Malaysia sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Johor, berkuat kuasa 1 Nov 2016.

RRC akan dikutip bersama-sama Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) semasa keluar di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu.

Dalam reaksi segera beliau mengenai RRC, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor menasihati rakyat Malaysia yang memasuki Singapura menggunakan kenderaan sendiri setiap hari agar bertukar kepada pengangkutan awam.

Katanya beliau faham ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura umumnya memasuki republik itu dengan menunggang motosikal dan pengangkutan awam, justeru "ia (RRC) tidak mempunyai impak besar."

LTA dilaporkan berkata RRC tidak terpakai kepada teksi bernombor pendaftaran asing.

Pemandu kenderaan boleh menggunakan kalkulator dalam talian untuk menyemak jumlah yang perlu dibayar bagi VEP, tol dan RRC menerusi https://www.onemotoring.com.sg/content/onemotoring/en/lta_e_services/online_enqui ries/vep.html. -- Bernama