DUNIA

Pasukan Israel cedera dalam serangan terancang di Gaza

Astro Awani 13/07/2025 | 01:00 MYT
Al-Qassam Brigades, mengumumkan bahawa mereka mensasarkan sebuah pos kawalan taktikal Israel di timur kejiranan al-Tuffah, Bandarata Gaza dengan serangan mortar berat. - Foto X/Warfare Analysis
GAZA: Sekurang-kurangnya lima anggota tentera Israel cedera dalam tiga insiden berasingan di Semenanjung Gaza, lapor akhbar Israel Yedioth Ahronoth pada Sabtu.

Salah satu kejadian yang digambarkan sebagai "insiden keselamatan" di Khan Younis mencetuskan evakuasi kecemasan menggunakan helikopter bagi membawa keluar anggota yang cedera.

Sumber dari medan konflik mengesahkan bahawa kumpulan-kumpulan perlawanan Palestin melancarkan serangan koordinasi terhadap pasukan pendudukan Israel di pelbagai lokasi di Gaza, di tengah-tengah perang yang disifatkan ramai sebagai genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.

Sayap ketenteraan Hamas, Al-Qassam Brigades, mengumumkan bahawa mereka mensasarkan sebuah pos kawalan taktikal Israel di timur kejiranan al-Tuffah, Bandarata Gaza dengan serangan mortar berat.

Dalam operasi berasingan di Abasan al-Kabira, timur Khan Younis, seorang penembak tepat perlawanan melepaskan tembakan maut terhadap seorang tentera Israel.

Al-Quds Brigades, sayap ketenteraan Palestinian Islamic Jihad (PIJ), turut melaporkan kejayaan dalam beberapa operasi.

Mereka memusnahkan dua kereta kebal Israel, termasuk satu jenis Merkava di timur al-Tuffah dan satu lagi di timur al-Zaytoun, melalui peranti letupan yang telah ditanam lebih awal.

Pasukan PIJ juga menyerang kenderaan tentera Israel di laluan bekalan Kissufim dan kawasan Sheikh Nasser menggunakan alat letupan berbentuk tong, dipercayai direka secara improvisasi.
Tembakan mortar turut dilaporkan ke atas pasukan Israel yang berkumpul di kawasan Jabal al-Sawrani.

Setakat ini, pihak tentera Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumlah sebenar kecederaan atau status evakuasi.

Namun, insiden ini menunjukkan intensiti pertempuran semakin meningkat di kawasan selatan Gaza.





#tentera Israel #Al-Qassam Brigades #Hamas #serangan terancang