DUNIA

Pasukan pengaman PBB lapor tembakan Israel di selatan Lubnan

Bernama 03/01/2026 | 03:00 MYT
Rondaan pengaman PBB di selatan Lubnan sering kali terdedah kepada tindakan ganas Israel, termasuk sasaran laser dan tembakan amaran. - Gambar fail/ Reuters
HAMILTON (Canada): Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memaklumkan bahawa pasukan pengamannya telah menjadi sasaran tembakan senjata ringan dan mesingan berhampiran Kafer Shouba di selatan Lubnan pada Jumaat, serta mengesahkan tembakan itu berpunca dari kedudukan Israel di selatan Garisan Biru, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Pasukan UNIFIL di Lubnan menjadi sasaran tembakan senjata ringan dan mesingan berhampiran Kafer Shouba, dengan kira-kira 100 das tembakan mesingan dilepaskan kira-kira 50 meter dari mereka, berpunca dari kedudukan Israel di selatan Garisan Biru.
  • UNIFIL menegaskan bahawa tiada kerosakan atau kecederaan dalam insiden tersebut, namun mengingatkan bahawa serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 1701.
  • Gencatan senjata di Lubnan sejak November 2024 berikutan perang Israel ke atas Gaza, namun tentera Israel masih mengekalkan kehadiran di lima pos kawalan sempadan di selatan Lubnan, berlawanan dengan perjanjian gencatan senjata.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

"Awal hari ini, pasukan pengaman yang sedang melakukan rondaan berhampiran Kafer Shouba melaporkan 15 das tembakan senjata ringan yang mengenai kawasan tidak lebih 50 meter dari kedudukan mereka," kata UNIFIL dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, "kurang daripada dua puluh minit kemudian, pasukan pengaman dalam rondaan kedua di kawasan yang sama melaporkan kira-kira 100 das tembakan mesingan dilepaskan kira-kira 50 meter dari mereka."

Sambil mengesahkan bahawa "tiada kerosakan atau kecederaan dalam kedua-dua kes tersebut," UNIFIL turut mengesahkan bahawa tembakan itu datang daripada kedudukan tentera Israel "di selatan Garisan Biru bagi kedua-dua kes," dan menambah bahawa misi itu telah menghantar permintaan "hentikan tembakan" melalui saluran perhubungan.

Misi itu juga menegaskan bahawa rondaan itu telah diselaraskan lebih awal, dengan menyatakan: "UNIFIL telah memaklumkan kepada IDF mengenai aktiviti di kawasan tersebut lebih awal, mengikut amalan biasa bagi rondaan di kawasan sensitif berhampiran Garisan Biru."

"Insiden seperti ini berlaku terlalu kerap, dan menjadi trend yang membimbangkan," kata UNIFIL, sambil mengingatkan bahawa "serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 1701."

Ia seterusnya menggesa tentera Israel "untuk menghentikan tingkah laku agresif dan serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman yang bekerja demi keamanan dan kestabilan di sepanjang Garisan Biru."

Tiada sebarang ulasan daripada tentera Israel mengenai kenyataan tersebut.

Rondaan pengaman PBB di selatan Lubnan sering kali terdedah kepada tindakan ganas Israel, termasuk sasaran laser dan tembakan amaran, dalam apa yang pernah disifatkan oleh jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric, sebagai "insiden yang sangat berbahaya."

Gencatan senjata telah dilaksanakan di Lubnan sejak November 2024, selepas lebih setahun serangan yang mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan 17,000 yang lain berikutan perang Israel ke atas Gaza.

Sekurang-kurangnya 335 orang terbunuh dan 973 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata bermula, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari 2025 di bawah perjanjian gencatan senjata, namun sebaliknya hanya berundur sebahagian dan terus mengekalkan kehadiran tentera di lima pos kawalan sempadan.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang dikemukakan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengenai tembakan senjata yang terjadi berhampiran Kafer Shouba?
    A: UNIFIL melaporkan bahawa pasukan pengamannya menjadi sasaran 15 das tembakan senjata ringan dan kira-kira 100 das tembakan mesingan berhampiran Kafer Shouba di selatan Lubnan.
  • Q: Apakah yang disahkan oleh UNIFIL berkenaan punca tembakan tersebut?
    A: UNIFIL mengesahkan bahawa tembakan itu berasal dari kedudukan tentera Israel di selatan Garisan Biru.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh UNIFIL berkenaan insiden tembakan tersebut?
    A: UNIFIL telah menghantar permintaan "hentikan tembakan" kepada tentera Israel melalui saluran perhubungan, dan telah menyelaraskan rondaan lebih awal dengan IDF.
  • Q: Apa yang UNIFIL tegaskan berkenaan dengan serangan ke atas pasukan pengaman?
    A: UNIFIL menegaskan bahawa serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 1701.
  • Q: Berapakah jumlah orang yang terbunuh dan cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata di Lubnan?
    A: Sekurang-kurangnya 335 orang terbunuh dan 973 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata bermula di Lubnan.


#PBB #pasukan pengaman PBB #lubnan #serangan Israel