PASUKAN penyelamat antarabangsa masih sedang mengesan seorang peserta India yang cedera parah semasa mengambil bahagian dalam perlumbaan mengelilingi dunia Golden Globe.

Abhilash Tomy dilaporkan terdampar 3,200 kilometer di persisiran pantai Barat Australia.

Perahu layarnya, Thuriya mengalami kerosakan teruk semasa keadaan angin kencang di Lautan Hindi.

Namun dia berjaya menghantar satu pesanan ringkas kepada pihak penganjur dan menyatakan dia mengalami kecederaan di bahagian belakang.

Ini menyebabkan dia tidak dapat bergerak, makan atau minum.

Angin kencang dengan kelajuan 70 knot menyebabkan ombak setinggi 14 meter itu turut menumbangkan kapal layar pelumba Belanda, Mark Slats.

Menurut penganjur perlumbaan tersebut, kebanyakan daripada 18 peserta perlumbaan itu berada di kedudukan lebih utara dan terlepas daripada ribut yang dialami Abhilash.

Sebuah kapal pukat tunda Perancis dilaporkan berada di kawasan itu, namun memerlukan beberapa hari untuk selamatkan Abhilash.

Tentera udara Australia telah kerahkan sebuah kapal terbang untuk meneliti keadaan peserta India itu.

Abhilash Tomy pernah mengelilingi dunia pada 2013. - Foto Twitter/Abhilash Tommy

Komander tentera laut India yang berusia 39 tahun itu masih dapat menghubungi pihak penganjur menggunakan peranti pesanan ringkas pada Sabtu selepas telefon satelit miliknya rosak semasa ribut.

"Sangat sukar bagi saya berjalan, mungkin saya perlukan pengusung.

"Saya kini selamat dan berada di dalam kapal ini," katanya kepada penganjur.

Perlumbaan Golden Globe itu, yang bermula di Perancis pada 1 Julai lalu, melibatkan seorang peserta mengelilingi dunia tanpa menggunakan teknologi moden kecuali telefon satelit.