Pasukan perisikan Somalia bunuh 23 anggota kumpulan al-Shabaab

Al-Shabaab, yang telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Somalia selama lebih 16 tahun, sering menyasarkan pasukan keselamatan, pegawai dan orang awam. - Foto fail/REUTERS
ISTANBUL: Pasukan perisikan Somalia membunuh 23 anggota kumpulan al-Shabaab dalam operasi terancang di wilayah selatan Middle Shabelle, kata agensi perisikan negara itu pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Pasukan perisikan Somalia membunuh 23 anggota kumpulan al-Shabaab dalam operasi terancang di Middle Shabelle.
 - Operasi disokong oleh Pasukan Agensi Perisikan dan Keselamatan Negara (NISA) serta rakan kongsi antarabangsa.
 - Tentera Somalia dan misi peralihan AUSSOM meningkatkan operasi menentang kumpulan al-Qaeda di wilayah selatan dan tengah Somalia.
 
NISA berkata operasi itu dilancarkan selepas disahkan bahawa anggota kumpulan tersebut telah berkumpul di kawasan itu untuk menubuhkan pangkalan bagi mengatur serangan yang bertujuan mengganggu keselamatan.
Ia berkata operasi serupa di kawasan sama pada 30 Okt telah menyebabkan "kerugian besar" kepada anggota kumpulan tersebut.
NISA berkata tiada korban awam dan menggesa rakyat untuk melaporkan sebarang ancaman keselamatan atau maklumat mengenai al-Shabaab atau Daesh.
Sejak Julai, tentera Somalia, dengan sokongan Misi Peralihan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) dan rakan kongsi antarabangsa lain, telah meningkatkan operasi terhadap kumpulan yang bersekutu dengan al-Qaeda itu di wilayah selatan dan tengah Somalia.
Al-Shabaab, yang telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Somalia selama lebih 16 tahun, sering menyasarkan pasukan keselamatan, pegawai dan orang awam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


