INTERNATIONAL
Pasukan separa tentera Sudan bunuh lebih 100 orang dalam serangan ke atas kem pelarian di Darfur - PBB
Zamzam merupakan salah satu daripada lima kawasan di Sudan yang merekodkan kebuluran akibat konflik berpanjangan. - Gambar fail Reuters
DARFUR: Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan telah melancarkan serangan selama dua hari ke atas kem pelarian yang dilanda kebuluran di wilayah Darfur, membunuh lebih daripada 100 orang, termasuk 20 kanak-kanak dan sembilan petugas bantuan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penyelaras penduduk dan kemanusiaan PBB di Sudan, Clementine Nkweta-Salami pada Sabtu berkata, RSF dan militan bersekutu telah melancarkan serangan ke atas kem Zamzam dan Abu Shorouk serta bandar el-Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara.
Kedua-dua kem tersebut diserang pada hari Jumaat dan Sabtu, menurut kenyataan Nkweta-Salami.
Sembilan petugas bantuan dilaporkan terbunuh ketika mereka bertugas di salah sebuah pusat kesihatan yang masih beroperasi di kem Zamzam.
Kem Zamzam dan Abu Shorouk menempatkan lebih daripada 700,000 orang yang telah melarikan diri dari rumah mereka akibat konflik berpanjangan di Darfur, menurut data PBB.
“Ini merupakan satu lagi peningkatan kekejaman yang amat dahsyat dan tidak boleh diterima dalam siri serangan kejam ke atas orang pelarian dan petugas bantuan sejak konflik ini bermula hampir dua tahun lalu,” katanya.
“Saya menggesa mereka yang melakukan jenayah ini supaya segera menghentikannya.”
Pegawai PBB itu tidak menamakan mangsa petugas bantuan yang terkorban, namun Kesatuan Doktor
Sudan dalam satu kenyataan berkata, enam petugas kesihatan daripada organisasi Relief International terbunuh apabila hospital mereka di Zamzam diserang pada Jumaat.
Antara yang terbunuh ialah Mahmoud Babaker Idris, seorang doktor di hospital tersebut, dan Adam Babaker Abdallah, ketua kumpulan Relief International di rantau itu.
Kesatuan itu menyalahkan RSF atas "tindakan jenayah dan kejam ini".
Relief International turut mengesahkan kematian sembilan petugasnya, menyatakan mereka terbunuh dalam "serangan yang menyasarkan semua infrastruktur kesihatan di rantau tersebut" termasuk klinik mereka.
Kumpulan itu turut memaklumkan, pasar utama Zamzam dan ratusan kediaman sementara di kem tersebut turut musnah dalam serangan itu.
Kem Zamzam dan Abu Shorouk merupakan antara lima kawasan di Sudan di mana kebuluran telah dikenal pasti oleh Integrated Food Security Phase Classification (IPC), sebuah badan pemantau kelaparan global.
Perang saudara di Sudan kini mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan anggaran 25 juta orang iaitu separuh daripada populasi Sudan - menghadapi kebuluran yang melampau.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, RSF telah mempertingkatkan serangan mereka ke atas el-Fasher - satu-satunya ibu negeri wilayah di Darfur yang masih di luar kawalan mereka - selepas tentera Sudan berjaya menawan semula ibu negara Khartoum bulan lalu.
Amnesty International baru-baru ini turut menerbitkan satu laporan yang menuduh RSF melakukan keganasan seksual dan rogol beramai-ramai terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan dalam apa yang digambarkan sebagai sebahagian daripada strategi mereka dalam perang saudara ini. - Agensi