DUNIA
Pasukan Trump cadang rundingan nuklear, gencatan senjata dengan Iran minggu ini - Laporan Axios

Rundingan ini dijangka berlangsung di Oman atau Oslo, dengan tumpuan kepada isu pengayaan uranium, pelucutan senjata, dan pengurangan ketegangan serantau.
WASHINGTON: Pasukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang merancang rundingan penting dengan Iran minggu ini bagi membincangkan perjanjian nuklear baharu dan kemungkinan gencatan senjata antara Iran dan Israel, menurut laporan eksklusif oleh Axios.
Cadangan rundingan itu melibatkan pertemuan antara utusan khas AS, Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Walaupun belum dimuktamadkan, pertemuan ini dilihat sebagai usaha terakhir Trump untuk mengelakkan penglibatan ketenteraan langsung AS dalam konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Seorang pegawai kanan AS berkata, “Kami sedang mempertimbangkan pertemuan dengan Iran minggu ini,” sambil menambah bahawa rundingan itu mungkin menjadi penentu sama ada AS akan menyertai perang atau berjaya mencapai penyelesaian diplomatik.Trump, yang kini menghadapi tekanan daripada sekutunya di Israel untuk menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, masih menegaskan bahawa beliau percaya perjanjian boleh dicapai.
“Saya fikir satu perjanjian akan ditandatangani. Iran akan rugi jika menolaknya,” katanya semasa Sidang Kemuncak G7.
Sementara itu, jurucakap White House menafikan laporan bahawa AS telah menyertai serangan Israel ke atas Iran, menegaskan bahawa tentera Amerika kekal dalam kedudukan pertahanan.
Rundingan ini dijangka berlangsung di Oman atau Oslo, dengan tumpuan kepada isu pengayaan uranium, pelucutan senjata, dan pengurangan ketegangan serantau.
Iran sebelum ini menyatakan bahawa cadangan AS tidak boleh diterima dan sedang menyediakan cadangan balas yang lebih “seimbang dan munasabah”.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami