Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Patung Labubu bernilai hampir RM30,000 dicuri dari kedai mainan di Los Angeles

Astro Awani 11/08/2025 | 00:00 MYT
Rakaman kamera keselamatan ke media sosial menunjukkan beberapa individu bertudung dan bertopeng memecah masuk, menggeledah rak dan membawa keluar kotak-kotak barangan. - Foto X/@AztecaNoticias
LOS ANGELES: Sekumpulan pencuri bertopeng telah mencuri patung koleksi Labubu bernilai kira-kira AS$7,000 (RM29,680) dari sebuah kedai mainan di La Puente, California, awal pagi Rabu lalu.


Ringkasan AI
  • Sekumpulan pencuri bertopeng mencuri patung Labubu bernilai RM29,680 dari kedai One Stop Sales di La Puente, California, menggunakan kenderaan yang turut dilaporkan dicuri.
  • Rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek memecah masuk dan menggeledah rak, manakala pemilik kedai merayu bantuan orang awam untuk mengenal pasti pelaku.
  • Patung Labubu kini menjadi sasaran jenayah terancang, dengan edisi terhad mencecah ribuan dolar di pasaran sekunder; pihak berkuasa masih menyiasat dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.


Menurut Jabatan Sheriff Los Angeles County, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi dan melibatkan sekurang-kurangnya dua kenderaan pikap, termasuk sebuah Toyota Tacoma yang dilaporkan dicuri dan kemudian ditemui semula.

Kedai yang menjadi sasaran, One Stop Sales, memuat naik rakaman kamera keselamatan ke media sosial yang menunjukkan beberapa individu bertudung dan bertopeng memecah masuk, menggeledah rak dan membawa keluar kotak-kotak barangan.

"Kami masih dalam keadaan terkejut," kata pemilik kedai dalam hantaran Instagram, sambil merayu orang awam membantu mengenal pasti suspek.

Patung Labubu, ciptaan artis kelahiran Hong Kong, Kasing Lung, mula diperkenalkan sekitar tahun 2015 dan kini menjadi antara koleksi paling dicari di pasaran.

Dijual dalam bentuk “blind box” dengan harga sekitar AS$20 seunit, edisi terhad Labubu boleh mencecah nilai ribuan dolar di pasaran sekunder.

Fenomena Labubu telah menarik perhatian bukan sahaja peminat dan pengumpul, tetapi juga pelabur dan penjual semula yang menggunakan bot automatik untuk membeli secara pukal.

Kecurian ini mencerminkan bagaimana barangan koleksi kini menjadi sasaran jenayah terancang.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Kedai tersebut melaporkan bahawa semua stok Labubu telah diambil dan premis mereka dirosakkan.

"Kami bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, dan semuanya hilang dalam sekelip mata," kata Joanna Avendano, pemilik bersama One Stop Sales kepada stesen tempatan KABC-TV.







#Labubu #kedai mainan #curi #One Stop Sales