[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Patung lilin Macron dicuri dari muzium Perancis

Astro Awani 02/06/2025 | 23:50 MYT
Aktivis Greenpeace membawa patung lilin Macron ke Kedutaan Rusia di Paris dan meletakkannya di luar sebagai sebahagian daripada protes terhadap hubungan ekonomi Perancis dengan Rusia. - Foto X/@Zlatti_71
PARIS: Sekumpulan aktivis yang mendakwa daripada Greenpeace telah mencuri patung lilin Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dari Muzium Grévin di Paris pada Isnin.

Menurut pihak polis, dua wanita dan seorang lelaki memasuki muzium dengan menyamar sebagai pelancong sebelum keluar melalui pintu kecemasan dengan patung lilin bernilai €40,000 (RM193,000) yang disembunyikan di bawah selimut.

Aktivis tersebut kemudian membawa patung lilin Macron ke Kedutaan Rusia di Paris dan meletakkannya di luar sebagai sebahagian daripada protes terhadap hubungan ekonomi Perancis dengan Rusia.

Pengarah Greenpeace Perancis, Jean-François Julliard, menyatakan bahawa tindakan ini bertujuan untuk menyoroti "permainan dua muka" yang dimainkan oleh Perancis dalam konflik Ukraine.

"Emmanuel Macron menyokong Ukraine secara terbuka tetapi pada masa yang sama membenarkan syarikat Perancis terus berdagang dengan Rusia," kata Julliard.

Greenpeace mendakwa bahawa walaupun Macron telah menjanjikan bantuan bernilai berbilion euro kepada Ukraine dan menguatkuasakan sekatan terhadap Rusia, Perancis masih menjadi pengimport utama gas asli cecair (LNG), baja, dan uranium dari Rusia.

Pihak berkuasa Perancis telah membuka siasatan terhadap insiden ini dan sedang meneliti rakaman kamera keselamatan untuk mengenal pasti suspek.

Muzium Grévin belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian tersebut, tetapi sumber dalaman menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan polis untuk mendapatkan kembali patung lilin Macron.

Greenpeace Perancis masih belum mengesahkan sama ada mereka akan memulangkan patung tersebut atau terus menggunakannya sebagai simbol protes terhadap dasar perdagangan Perancis dengan Rusia.






#patung lilin #Emmanuel Macron #Muzium Grevin #Greenpeace