Payung terjun tersangkut ekor pesawat, penerjun tergantung di udara

ATSB mendedahkan rakaman dramatik kejadian yang berlaku pada 20 September lalu. - Gambar/ ATSB
SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada bahagian ekor pesawat menyebabkan dia tergantung di udara pada ketinggian 4,500 meter dalam kejadian di Queensland, Australia.
Ringkasan AI
- Aktiviti terjunan di Queensland, Australia mengalami insiden dramatik apabila payung terjun seorang lelaki tersangkut pada ekor pesawat, menyebabkan dia tergantung di udara pada ketinggian 4,500 meter.
- Lelaki tersebut, Adrian Ferguson, terpaksa memotong tali payung terjun simpanan yang tersangkut pada kepak sayap pesawat sebelum berjaya melepaskan diri dan mendarat dengan selamat meskipun mengalami kecederaan ringan di kaki.
- Pesawat bersama dua penerjun lain berjaya mendarat dengan selamat di Tully tanpa sebarang insiden, namun kejadian tersebut menimbulkan keperluan untuk membawa pisau sebagai langkah keselamatan tambahan ketika terjunan.
Seorang lagi penerjun berada di pintu pesawat yang terbuka untuk merakam video ketika yang lain melakukan terjunan.
Ketika salah seorang penerjun, Adrian Ferguson keluar dari pesawat, tali pengaktif payung terjun simpanannya tersangkut pada kepak sayap pesawat.
Payung terjun itu kemudian terbuka secara tiba-tiba dan menarik Ferguson ke belakang dengan kuat.
Dalam kejadian itu, Ferguson terlanggar penerjun yang bertugas merakam video sehingga individu berkenaan terjatuh ke dalam keadaan jatuh bebas.
Kedua-dua kaki Ferguson turut terkena penstabil mendatar pada ekor pesawat sebelum payung terjun tersebut berpintal pada bahagian itu, menyebabkan dia tergantung di udara.
Ferguson bertindak pantas menggunakan pisau untuk memotong beberapa tali payung terjun sebelum berjaya melepaskan diri dan membuka payung terjun utama, sekali gus mendarat dengan selamat meskipun mengalami kecederaan ringan di kaki.
Sementara itu, juruterbang pesawat bersama dua penerjun lain terpaksa mengawal pesawat dengan sebahagian payung terjun masih tersangkut pada ekor sebelum membuat panggilan kecemasan.
Bagaimanapun, pihak kawalan trafik udara memutuskan pesawat masih selamat untuk mendarat dan ia berjaya mendarat di Tully tanpa sebarang insiden, manakala semua penumpang lain dilaporkan tidak cedera.
Ketua Pesuruhjaya ATSB, Angus Mitchell berkata, walaupun tidak diwajibkan untuk membawa pisau, namun ia boleh menjadi penyelamat nyawa sekiranya berlaku pembukaan payung terjun simpanan secara tidak sengaja. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


