DUNIA

PBB beri amaran bantuan kemanusiaan di Gaza tergendala akibat penutupan lintasan sempadan

Bernama 23/10/2025 | 01:55 MYT
Menekankan kepentingan pembukaan lintasan Rafah, Haq (gambar) memberi peringatan bahawa 'ujian sebenar ialah sama ada gencatan senjata ini akan bertahan lebih lama berbanding sebelumnya.' - Foto PBB
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Rabu bahawa penutupan lintasan sempadan oleh Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, meskipun orang awam mula berpindah ke kawasan yang boleh diakses sejak gencatan senjata dimeterai pada 10 Okt, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap PBB Farhan Haq memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sebagai berkata bahawa sejak gencatan senjata berkuat kuasa lebih 10 hari lalu, PBB bersama rakan kongsinya telah mempertingkat operasi bantuan di Gaza, khususnya di kawasan tengah dan selatan wilayah itu.

"Penutupan berterusan lintasan Zikim dan Erez, yang menjadi laluan terus ke utara, menjejaskan usaha pasukan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan penting kepada penduduk di sana pada skala yang diperlukan," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sejak gencatan senjata dilaksanakan, lebih 425,000 pergerakan penduduk direkodkan dari selatan ke utara Gaza, dengan ramai yang berlindung di kawasan seperti Jabaliya serta dua sekolah di Beit Lahiya yang sebelum ini tidak dapat dimasuki akibat operasi ketenteraan Israel.

Mengenai penghantaran bantuan, Haq menjelaskan daripada 10 misi kemanusiaan yang diselaras PBB di Gaza pada Isnin, enam berjaya dilaksanakan termasuk pengumpulan tangki air, kit kebersihan dan bahan api dari lintasan sempadan.

"Hari ini kami berjaya membawa masuk beberapa lori tangki bahan api dan lampin bayi," katanya.

Menurut Haq, lori bantuan yang diselaras PBB membawa hampir 1,500 tan metrik bantuan dari lintasan Karem Abu Salem dan Kissufim pada Isnin, dengan hampir tiga perempat daripadanya terdiri daripada bekalan makanan.

"Bantuan lain termasuk bahan perlindungan, makanan ternakan, bekalan kesihatan serta barangan air, sanitasi dan kebersihan," jelasnya.

Menekankan kepentingan pembukaan lintasan Rafah, Haq turut memberi peringatan bahawa "ujian sebenar ialah sama ada gencatan senjata ini akan bertahan lebih lama berbanding sebelumnya."

Berhubung Tebing Barat yang diduduki, Haq menyambut baik surat beberapa senator Amerika Syarikat kepada Presiden Donald Trump yang menggesa pendirian lebih tegas terhadap rancangan pengilhakan Israel.

"Sudah tentu kami menyokong segala langkah yang dapat mengelak sebarang perubahan terhadap status quo di Tebing Barat," katanya.

-- BERNAMA

#bantuan kemanusiaan #gencatan senjata #Gaza #PBB