Skip to main content

Dunia

PBB bimbang keselamatan orang awam di wilayah Palestin yang diduduki

CHILDREN OF GAZA
UNICEF berkata dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 13 tahun dilaporkan terbunuh di Gaza dalam tempoh berkenaan, manakala sekurang-kurangnya lima lagi cedera. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

NEW YORK: Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan orang awam di wilayah Palestin yang diduduki, susulan laporan tiga kanak-kanak terbunuh dalam tempoh 24 jam, lapor Xinhua.

Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menerusi Facebook berkata dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 13 tahun dilaporkan terbunuh di Gaza dalam tempoh berkenaan, manakala sekurang-kurangnya lima lagi cedera.

UNICEF menegaskan bahawa penggunaan senjata letupan dan tembakan rambang perlu dielakkan bagi melindungi kanak-kanak.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pula berkata tiga pengawal yang bertugas dengan sebuah organisasi rakan kemanusiaan cedera ringan pada Selasa ketika pertempuran bersenjata di Bandar Gaza.

Di Deir al-Balah, dinding luar dua rumah penginapan PBB terkena peluru sehingga mengakibatkan kerosakan kecil, manakala sebuah dron Israel dilihat berada berhampiran kawasan berkenaan, menurut OCHA.

OCHA turut memaklumkan bahawa kira-kira sejuta penduduk Gaza yang bergantung kepada rangkaian bekalan air Israel terjejas akibat pengurangan bekalan untuk hari kedua berturut-turut pada Rabu.

Bekalan air yang dihantar menggunakan lori dari sumber lain hanya mampu menampung sebahagian daripada kekurangan berkenaan.

Di Tebing Barat, OCHA berkata rakan kemanusiaannya bimbang dengan laporan bahawa keseluruhan komuniti Khirbet at Tabban dimusnahkan oleh tentera Israel pada Rabu.

Khirbet at Tabban merupakan satu daripada 13 komuniti penternak di kawasan Masafer Yatta, Hebron yang secara keseluruhannya mempunyai lebih 1,000 penduduk.

Menurut OCHA, komuniti terbabit berada dalam kawasan yang termasuk dalam 18 peratus wilayah Tebing Barat yang diisytiharkan pihak berkuasa Israel sebagai “zon latihan menembak” dan diperuntukkan untuk latihan ketenteraan.

Komuniti berkenaan sejak sekian lama berdepan perintah perobohan terhadap semua struktur kerana didakwa tidak mempunyai lesen, sedangkan pihak berkuasa Israel tidak mengeluarkan permit yang diperlukan kepada rakyat Palestin.

Dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 12 pos penempatan pendatang haram diwujudkan di kawasan sama, manakala keganasan puak pelampau turut meningkatkan tekanan terhadap penduduk Palestin supaya meninggalkan kawasan mereka.

OCHA berkata rakan kemanusiaannya sedang menggerakkan usaha bantuan bagi menyokong penduduk yang baharu kehilangan tempat tinggal, selain membantu melindungi mata pencarian komuniti rentan di seluruh Tebing Barat yang turut berdepan tekanan untuk meninggalkan tanah mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada Rabu berkata penternak di Tebing Barat menerima 3.3 juta dos vaksin daripada agensi itu dan Kementerian Pertanian Palestin sepanjang dua tahun lalu bagi melindungi ternakan serta sumber pendapatan mereka.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement