PBB bimbang krisis politik di Guinea-Bissau

Bernama
Mac 4, 2020 23:24 MYT
Petugas pilihan raya mengira undi ketika pusingan kedua pemilihan presiden Guinea Bissau di Bissau, Guinea-Bissau, 29 Dis, 2019. REUTERS/Fail
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang dengan perkembangan krisis yang tercetus di Guinea-Bissau, susulan pilihan raya presiden yang berlangsung baru-baru ini.
"Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengikuti perkembangan krisis di Guinea-Bissau dan bimbang dengan keadaan itu," kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan pada Selasa lapor agensi berita Xinhua.
Beliau berkata Guterres mahu semua pihak berkepentingan menunggu keputusan Mahkamah Agung dan mengambil semua langkah perlu untuk menghindari sebarang tindakan yang boleh mengugat keamanan serta kestabilan negara.
Setiausaha Agung PBB itu turut "mengulangi komitmen PBB untuk sentiasa bersama Bissau-Guineans dalam usaha mereka mewujudkan keamanan, demokrasi dan pembangunan," jelas kenyataan itu.
Kepemimpinan politik di Guinea-Bissau mengalami perpecahan sejak pemilihan presiden pusingan kedua Disember lalu, menyaksikan pemimpin pembangkang Umaro Sissoco Embalo menewaskan Domingos Simoes Pereira, calon PAIGC, parti yang telah lama memerintah.
Embalo mengangkat sumpah sebagai presiden pada Khamis.
Mahkamah Agung kemudian mengeluarkan perintah untuk meneliti semula keputusan pengundian berikutan petisyen pilihan raya difailkan PAIGC.
Menurut laporan media, sedozen anggota tentera berada di sekitar kawasan Mahkamah Agung Guinea-Bissau, langkah yang dilihat memburukkan lagi krisis.
-- BERNAMA
#Antonio Guterres #Domingos Simoes Pereira #Guinea-Bissau #keamanan #keputusan pengundian #krisis #mahkamah #Mahkamah Agung #PBB #pembangkang #pemilihan #pemilihan presiden #perpecahan #presiden #Stephane Dujarric #tentera #Umaro Sissoco Embalo