Skip to main content

Dunia

PBB bimbang serangan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin

Terjadi beberapa serangan udara Israel, selain bedilan, letupan akibat operasi perobohan, tembakan dari laut dan serangan bersenjata di seluruh wilayah pentadbiran Gaza pada Selasa dan Rabu. - Reuters
Terjadi beberapa serangan udara Israel, selain bedilan, letupan akibat operasi perobohan, tembakan dari laut dan serangan bersenjata di seluruh wilayah pentadbiran Gaza pada Selasa dan Rabu. - Reuters

Advertisement

NEW YORK: Petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap serangan berterusan Israel yang menjejaskan orang awam dan kawasan berpenduduk di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Xinhua.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan bahawa rakan kerjasamanya dalam bidang keselamatan merekodkan beberapa serangan udara Israel, selain bedilan, letupan akibat operasi perobohan, tembakan dari laut dan serangan bersenjata di seluruh wilayah pentadbiran Gaza pada Selasa dan Rabu, khususnya di sebelah barat kawasan yang dikenali sebagai Garisan Kuning.

OCHA sekali lagi menegaskan bahawa orang awam dan infrastruktur awam mesti dilindungi pada setiap masa.

Menurut OCHA, PBB bersama rakan kerjasamanya terus membawa masuk bekalan yang amat diperlukan ke Gaza sebagai persediaan menghadapi musim sejuk dan hujan yang semakin hampir.

Pada Selasa, mereka membawa masuk bekalan tambahan termasuk bahan api, kanvas plastik, pakaian musim sejuk, ubat-ubatan dan bekalan perubatan. Bagaimanapun, bekalan yang terhad itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.

Menurut rakan kerjasama OCHA, kekurangan dana dan sekatan Israel terus mengekang penghantaran bantuan berkenaan.

Sementara itu, di Tebing Barat yang diduduki, serbuan terhadap pertubuhan masyarakat sivil turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan perlindungan penduduk.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) memaklumkan bahawa tentera Israel menyerbu premis pertubuhan masyarakat sivil Palestin dan sebuah kompleks perubatan di Ramallah pada Selasa, selain merampas fail serta peralatan dan menahan beberapa individu.

"Pihak berkuasa Israel mesti segera menghentikan tindakan keras terhadap ruang masyarakat sivil Palestin," menurut OHCHR menerusi hantaran di platform media sosial X.

OHCHR turut menyatakan bahawa serbuan dan penahanan pembela hak asasi manusia serta petugas perlindungan itu telah menimbulkan kesan yang membantutkan usaha memperjuangkan hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement