INTERNATIONAL
PBB desak pemimpin dunia supaya hantar makanan ke Gaza

Pasukan PBB bersedia untuk mengagihkan bekalan dan perkhidmatan penting seperti makanan, air, penjagaan kesihatan dan pemakanan di Gaza. - AP
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa para pemimpin dunia supaya menghantar bekalan makanan kepada penduduk awam di Semenanjung Gaza ketika sekatan menyeluruh Israel terhadap wilayah itu memasuki minggu kesembilan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Isnin, sebagai reaksi terhadap rancangan Israel untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Kenyataan itu menegaskan bahawa rancangan berkenaan "bercanggah dengan prinsip asas kemanusiaan."
Ia menyatakan bahawa pasukan PBB bersedia untuk mengagihkan bekalan dan perkhidmatan penting seperti makanan, air, penjagaan kesihatan dan pemakanan di Gaza."Kami mempunyai sejumlah besar stok sedia untuk diedarkan sebaik sahaja sekatan ditamatkan. Kami menggesa pemimpin dunia menggunakan pengaruh mereka untuk merealisasikannya. Kini adalah masa untuk menamatkan sekatan itu," menurut kenyataan itu.
PBB turut menyatakan bahawa rancangan Israel itu membahayakan nyawa orang awam dan usaha bantuan kemanusiaan, selain mendorong kepada pemindahan secara paksa.
Ia turut memberi amaran bahawa cubaan untuk mengalihkan orang awam ke zon konflik bagi mendapatkan bantuan makanan bermakna "sebahagian besar kawasan Gaza akan terus kekal tanpa bekalan makanan."
Sejak 2 Mac lepas, Israel menutup semua lintasan ke Semenanjung Gaza daripada kemasukan makanan, bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan barangan keperluan, sekali gus menyebabkan keadaan kemanusiaan rakyat Palestin merosot teruk, menurut laporan kerajaan, pertubuhan hak asasi kemanusiaan dan agensi antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami