NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar orang awam dilindungi, rumah dan harta benda dipelihara serta akses kepada perkhidmatan asas dijamin di wilayah Palestin susulan keganasan dan sekatan berterusan di Tebing Barat serta serangan Israel di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Jurucakap PBB Stéphane Dujarric berkata pada taklimat media harian bahawa pasukan PBB berjaya menghubungi keluarga Palestin di kampung Qusra, utara Tebing Barat, susulan pelaksanaan sekatan terhadap pergerakan dan akses.
Rakan kerjasama PBB turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, sambil memberi amaran bahawa kekurangan dana dan sekatan kemasukan bekalan perlindungan menjejaskan persiapan menghadapi musim sejuk.
Mereka berkata setakat ini, kurang 40 peratus daripada dana yang diperlukan bagi tindak balas kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat tahun ini berjaya diperoleh.
Timbalan Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Asia Barat Ramses Alakbarov berkata perkembangan terkini menekankan keperluan segera untuk melindungi orang awam, memelihara rumah dan harta benda serta menjamin akses kepada perkhidmatan asas.
-- BERNAMA-WAFA