ANKARA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sabtu mengecam serangan ke atas kemudahan awam di Arab Saudi dan Yaman.

"Setiausaha Agung itu mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Houthi ke atas kemudahan tenaga dan fasiliti awam di Arab Saudi pada Jumaat serta serangan balas di Sana'a, sehingga mengorbankan lapan orang awam, termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Stephane Dujarric.

Serangan udara itu turut mengakibatkan kerosakan di kawasan kediaman kakitangan PBB di Sanaa.

"Setiausaha Agung menyeru supaya siasatan dapat dilaksanakan segera dan telus bagi mengesan pelakunya," menurut kenyataan itu.

Guterres mengulangi gesaan agar semua pihak menghentikan sebarang provokasi, meredakan pertelingkahan dan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip perbezaan, perkadaran dan pencegahan.

Puak pemberontak Houthi di Yaman pada Jumaat mengaku bertanggungjawab melakukan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kemudahan tenaga Arab Saudi.

Serangan menyasarkan kemudahan penyimpanan minyak Syarikat Aramco itu mengakibatkan dua tangki simpanan terbakar.

Susulan tindakan itu, sebuah pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan di Yaman, termasuk Sanaa dan bandar pelabuhan Laut Merah al-Hudaydah yang dikuasai Houthi.

Gabungan itu memaklumkan operasi itu bertujuan menghentikan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi dan "melindungi sumber tenaga global."

-- BERNAMA