PBB kutuk Israel bunuh kanak-kanak Palestin

Bernama
Jun 6, 2023 03:30 MYT
Gabenor Ramallah Laila Ghannam mendukung jenazah Mohammad Tamimi di luar perkaragan Kompleks Kesihatan Palestin. - Foto AP
ANKARA: Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Proses Keamanan Asia Barat pada Isnin mengutuk pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh tentera Israel.
"Saya mengutuk dan amat sedih dengan kematian seorang budak lelaki Palestin berusia 2 tahun, yang cedera parah akibat tembakan pasukan keselamatan Israel di Al-Nabi Saleh," lapor Agensi Anadolu memetik Tor Wennesland di Twitter.
Beliau berkata "orang awam, khususnya kanak-kanak terus menanggung beban konflik ini" dan menggesa pihak berkuasa Israel supaya mengambil tindakan ke atas "mereka yang bertanggungjawab".

(1/2) I condemn and am deeply saddened by the death of a 2-year old Palestinian boy, who was critically injured by Israeli security forces gunfire in Al-Nabi Saleh two days ago. IDF said they were responding to a shooting from the area by Palestinian gunmen

— Tor Wennesland (@TWennesland) June 5, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Awal hari ini, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan kematian Mohammad Tamimi, 2, yang cedera parah pada Khamis apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di bandar Nabi Saleh dekat Ramallah. Bapanya juga cedera dalam serangan itu.
Tentera Israel berkata siasatan awal menunjukkan dua lelaki Palestin yang bersenjata didakwa melepaskan tembakan ke arah penempatan berhampiran menyebabkan tentera Israel bertindak balas.
Tentera mengaku tersalah tembak kanak-kanak itu dan kesal telah "memudaratkan mereka yang bukan pejuang dan berusaha untuk mencegah kejadian seperti itu."
Bapa kanak-kanak itu bagaimanapun menafikan naratif Israel dan mendakwa tidak belaku berbalas tembak di kawasan itu, sebaliknya menuduh tentera Israel terus melepaskan tembakan ke arah keretanya.
Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan berulang Israel ke bandar-bandar Palestin.
Menurut angka Palestin, lebih 155 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun ini. Sekurang-kurangnya 21 warga Israel turut terbunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh yang sama.
-- BERNAMA
#PBB #pembunuhan kanak-kanak #Mohammad Tamimi #Israel