[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
DUNIA

PBB lancar pelan bantuan 60 hari untuk Gaza sebaik gencatan senjata bermula

Agensi 09/10/2025 | 23:40 MYT
Menurut PBB, bantuan perlu disalurkan melalui beberapa laluan dengan pemeriksaan yang lebih pantas, serta jaminan keselamatan bagi mengelak insiden rompakan. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengumumkan rancangan terperinci selama 60 hari bagi menyalurkan bantuan ke Gaza sebaik gencatan senjata dimulakan, dalam usaha membantu rakyat Palestin di wilayah yang musnah akibat perang itu.

“Pelan kami sudah siap sepenuhnya - terperinci dan telah diuji,” kata Ketua Operasi Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher.

“Bekalan kami - sebanyak 170,000 tan metrik terdiri daripada makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain - telah sedia. Pasukan kami, yang berani, pakar dan teguh, juga bersedia,” katanya dalam sidang media secara dalam talian dari Arab Saudi.

Sebahagian besar wilayah Palestin yang dikepung itu kini musnah teruk akibat serangan ketenteraan Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sekatan Israel telah menyekat kemasukan bantuan penting ke Gaza, menyebabkan PBB mengisytiharkan beberapa kawasan mengalami kebuluran, dengan ratusan rakyat Palestin meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.

Fletcher berkata, PBB menyasarkan untuk mempertingkat penghantaran bantuan supaya ratusan lori dapat memasuki Gaza setiap hari.

“Kebuluran mesti ditamatkan di kawasan yang telah terjejas dan dicegah daripada merebak ke kawasan lain,” tegasnya.

Makanan, air dan penjagaan kesihatan

Pelan itu merangkumi penyediaan makanan kepada 2.1 juta penduduk - hampir keseluruhan populasi Gaza - serta bantuan pemakanan khusus kepada 500,000 individu yang mengalami kekurangan zat makanan teruk.

Selain bantuan makanan langsung, PBB turut akan menyokong operasi bakeri, dapur komuniti serta memberi bantuan tunai kepada 200,000 orang agar mereka dapat membeli makanan pilihan sendiri.

Inisiatif itu juga akan membekalkan air bersih dan perkhidmatan sanitasi kepada 1.4 juta penduduk Gaza.

“Kami akan membantu memulihkan sistem bekalan air, membaiki kebocoran dan stesen pam kumbahan, mengalihkan sisa pepejal dari kawasan kediaman serta menyediakan keperluan kebersihan seperti sabun, syampu, detergen dan tuala wanita,” jelas Fletcher.

PBB turut berusaha memulihkan sistem kesihatan Gaza yang lumpuh akibat operasi ketenteraan Israel dengan membekalkan peralatan, ubat-ubatan dan bantuan lain.

“Kami akan memperkukuh rawatan kecemasan, penjagaan kesihatan primer, kesihatan kanak-kanak, kesihatan ibu dan bayi, kesihatan mental serta rawatan penyakit tidak berjangkit,” tambahnya.

Memandangkan kebanyakan bangunan di Gaza telah musnah, pelan itu juga termasuk penghantaran ribuan khemah setiap minggu dan penubuhan sekolah sementara untuk 700,000 kanak-kanak.

Namun Fletcher menegaskan, pelaksanaan pelan itu bergantung kepada beberapa faktor penting termasuk kemasukan berterusan sekurang-kurangnya 1.9 juta liter bahan api setiap minggu, serta penyambungan semula bekalan gas memasak.

Beliau berkata, bantuan perlu disalurkan melalui beberapa laluan dengan pemeriksaan yang lebih pantas, serta jaminan keselamatan bagi mengelak insiden rompakan.

Selain itu, dana mencukupi juga amat diperlukan - ketika ini hanya 28 peratus daripada AS$4 bilion dana yang dipohon PBB untuk Gaza telah diterima.

Fletcher turut menjelaskan, 170,000 tan bantuan yang kini disimpan di Israel, Jordan, Mesir dan Cyprus tidak mencukupi untuk tempoh 60 hari pertama selepas perang berakhir.

“Jelas sekali, masalah ini tidak akan selesai dalam masa dua bulan,” katanya. - Agensi






#Gencatan senjata Gaza #PBB #pelan bantuan 60 hari #bantuan kemanusiaan