DUNIA

PBB lanjutkan mandat agensi pelarian Palestin selama tiga tahun

Bernama 06/12/2025 | 04:45 MYT
UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB lebih 70 tahun lepas untuk membantu rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dari tanah mereka. - Gambar fail/ Reuters
HAMILTON (Kanada): Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi pada Jumaat untuk memperbaharui mandat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam pengundian yang dijalankan di Perhimpunan Agung itu, resolusi berkenaan menerima 151 undi menyokong, 10 menentang dan 14 berkecuali.

Menyambut baik keputusan memperbaharui mandat tersebut, Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini berkata di platform media sosial X bahawa keputusan itu "mencerminkan solidariti luas masyarakat dunia terhadap Pelarian Palestin."

"Ia juga satu pengiktirafan terhadap tanggungjawab komuniti antarabangsa untuk menyokong keperluan kemanusiaan dan pembangunan Pelarian Palestin sementara menunggu penyelesaian yang adil serta berkekalan terhadap penderitaan mereka yang berlarutan selama beberapa dekad," katanya.

Lazzarini turut menggesa agar keputusan itu "diterjemah kepada komitmen sebenar bersama sumber yang sepadan bagi memastikan mandat berkenaan dapat dilaksanakan."

UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB lebih 70 tahun lepas untuk membantu rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dari tanah mereka.

Agensi itu kini berdepan masalah kewangan serius sejak Israel melancarkan kempen fitnah terhadap UNRWA, mendakwa kakitangannya terlibat dalam serangan pada 7 Okt.

Walaupun UNRWA meminta Kerajaan Israel mengemukakan maklumat dan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan, agensi itu tidak menerima sebarang maklum balas. Ekoran tuduhan Israel itu, beberapa negara penderma utama, termasuk AS, menggantung atau menangguhkan pembiayaan mereka.

-- BERNAMA

#Genosid Gaza #PBB #UNRWA #Palestin