Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

PBB lapor keganasan seksual berkaitan konflik meningkat

Bernama 15/08/2025 | 05:50 MYT
Walaupun keperluan semakin meningkat, akses kemanusiaan sangat terhad dan dihalang oleh pihak-pihak yang terlibat dalam konflik. - Gambar hiasan/ Reuters
NEW YORK: Keganasan seksual berkaitan konflik meningkat mendadak pada 2024, dengan lebih 4,600 mangsa mengalami penderaan yang digunakan sebagai taktik peperangan, penyeksaan, keganasan dan penindasan politik, menurut laporan PBB yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Keganasan seksual berkaitan konflik meningkat 25 peratus pada tahun 2024 dengan lebih 4,600 mangsa direkodkan, majoritinya wanita, melibatkan 21 negara termasuk Republik Demokratik Congo, Haiti, Somalia dan Sudan Selatan.
  • Jenayah ini digunakan sebagai taktik peperangan, penyeksaan dan penindasan politik, namun akses kemanusiaan untuk membantu mangsa masih sangat terhad akibat halangan daripada pihak terlibat dalam konflik.
  • Laporan PBB menggesa pembiayaan mampan melalui Tabung Amanah Berbilang Rakan Kongsi dan penempatan Penasihat Perlindungan Wanita, serta pelaksanaan langkah pencegahan selaras dengan Resolusi 2467 Majlis Keselamatan PBB.


Angka itu mewakili peningkatan 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Laporan Tahunan ke-16 Setiausaha Agung PBB mengenai Keganasan Seksual Berkaitan Konflik, yang merangkumi 21 negara dengan maklumat disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walaupun angka membimbangkan ini tidak mencerminkan skala global dan kelaziman jenayah terbabit, laporan itu menyampaikan tahap kekejaman ancaman ini dengan jumlah kes tertinggi direkodkan di Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Haiti, Somalia dan Sudan Selatan, menurut Pejabat Wakil Khas Setiausaha Agung PBB mengenai Keganasan Seksual dalam Konflik dalam satu kenyataan akhbar.

Wanita merupakan majoriti mangsa (92 peratus), namun kanak-kanak perempuan, lelaki dan kanak-kanak lelaki juga termasuk dalam kalangan mangsa.

Walaupun keperluan semakin meningkat, akses kemanusiaan sangat terhad dan dihalang oleh pihak-pihak yang terlibat dalam konflik, menurut laporan itu.

Laporan itu menggesa pembiayaan mampan melalui Tabung Amanah Berbilang Rakan Kongsi PBB mengenai Keganasan Seksual Berkaitan Konflik, serta penempatan Penasihat Perlindungan Wanita di semua situasi berkaitan yang menjadi kebimbangan, selaras dengan Resolusi 2467 (2019) Majlis Keselamatan PBB.

Laporan itu turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik melaksanakan langkah khusus untuk mencegah keganasan seksual seperti yang digariskan dalam resolusi, termasuk mengeluarkan arahan jelas dan memberikan akses tanpa sekatan kepada PBB untuk tujuan pemantauan dan penyampaian perkhidmatan.

-- BERNAMA


#PBB #keganasa terhadap wanita #keganasan seksual #konflik