DUNIA
PBB: Lebih 737,000 penduduk Gaza dipindahkan sejak Mac akibat serangan Israel

Walaupun keperluan semakin meningkat, hanya sejumlah kecil bantuan kemanusiaan berjaya disalurkan ke Gaza. - AP
HAMILTON : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memaklumkan bahawa lebih 737,000 orang telah dipindahkan di Semenanjung Gaza sejak peningkatan serangan Israel pada Mac, sekali gus menunjukkan skala krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Lebih 737,000 penduduk Gaza telah dipindahkan sejak peningkatan serangan Israel pada Mac, dengan serangan terkini menyebabkan kecederaan dan kematian di lokasi perlindungan penduduk.
- PBB mengutuk serangan Israel ke atas Gereja Holy Family dan menyeru gencatan senjata serta penghormatan terhadap rumah ibadat dan perlindungan kepada orang awam.
- Israel dilaporkan menyerahkan kawalan pentadbiran Masjid Ibrahimi kepada majlis penempatan Yahudi, satu langkah besar yang mencetuskan kebimbangan terhadap perlindungan tapak suci.
"Dan sepanjang 21 bulan lalu, hampir semua orang telah dipindahkan, biasanya lebih daripada sekali," katanya.
Tremblay berkata serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu mengenai beberapa lokasi yang menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan, dengan laporan menyebut terdapat kecederaan dan kematian.
Walaupun keperluan semakin meningkat, beliau berkata hanya sejumlah kecil bantuan kemanusiaan berjaya disalurkan ke Gaza.
Tremblay menyifatkan penghantaran bahan api benzena buat kali pertama dalam tempoh lebih 135 hari sebagai "langkah kecil tetapi penting ke hadapan," memandangkan bahan itu amat diperlukan untuk menggerakkan ambulans dan perkhidmatan penting lain.
"Tetapi itu masih belum mencukupi," tegasnya.
Mengulas serangan Israel ke atas sebuah gereja di Gaza, Tremblay berkata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres "mengutuk sekeras-kerasnya laporan mengenai serangan Israel ke atas Gereja Holy Family di Gaza, sebuah tempat ibadah dan perlindungan kepada orang awam."
"Serangan ke atas rumah ibadat tidak boleh diterima. Mereka yang mencari perlindungan mesti dihormati dan dilindungi, bukannya menjadi sasaran serangan," katanya sambil mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan segera.
Beliau turut mengulangi gesaan Guterres "kepada semua pihak agar memastikan orang awam sentiasa dihormati dan dilindungi, serta membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan secara besar-besaran ke Semenanjung Gaza."
Menjawab pertanyaan Anadolu berhubung laporan penyerahan kawalan pentadbiran Masjid Ibrahimi di Hebron kepada majlis penempatan Israel, Tremblay berkata PBB belum melihat laporan tersebut, namun menegaskan: "Kami sentiasa menyeru agar semua tapak keagamaan dilindungi."
Media Israel pada Selasa melaporkan bahawa Tel Aviv telah menamatkan kuasa pentadbiran majlis perbandaran Hebron ke atas Masjid Ibrahimi dan menyerahkannya kepada majlis penempatan pendatang Yahudi.
Masjid Ibrahimi, yang turut dikenali sebagai Makam Nabi Ibrahim, adalah tapak suci bagi umat Islam dan Yahudi. Kawalan ke atas masjid itu sering menjadi titik panas dalam konflik Israel-Palestin.
Langkah terbaru Israel ini merupakan perubahan besar pertama terhadap status masjid itu sejak cadangan Suruhanjaya Shamgar pada 1994, yang membahagikan akses dengan memperuntukkan 63 peratus kawasan kepada penganut Yahudi dan 37 peratus kepada umat Islam.
Pembahagian itu dibuat susulan insiden pembunuhan beramai-ramai pada 1994 oleh seorang pendatang Yahudi ekstremis, Baruch Goldstein, yang membunuh 29 jemaah Palestin ketika solat subuh.
Masjid itu terletak di Bandar Lama Hebron dalam kawasan yang berada di bawah kawalan penuh Israel, iaitu kira-kira 400 pendatang Yahudi tinggal dengan perlindungan 1,500 anggota tentera Israel.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami