PBB lulus resolusi khas Uzbekistan mengenai Asia Tengah dan Selatan

Bernama
Julai 13, 2022 08:08 MYT
Presiden Shavkat Mirziyoyev mengemukakan inisiatif itu ketika persidangan Tashkent peringkat tinggi "Asia Tengah dan Selatan: kesalinghubungan serantau. Cabaran dan Peluang" pada Julai 2021.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin sebulat suara meluluskan resolusi khas untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Asia Tengah dan Selatan, dimulakan Uzbekistan selaku pencadang bersama 40 negara lain termasuk Malaysia.
Pencadang bersama resolusi itu termasuk Azerbaijan, Armenia, Angola, Vietnam, Vanuatu, Ghana, Cuba, Kazakhstan, Kyrgyzstan, China, Ivory Coast, Qatar, Mesir, Iran, Nepal, Malaysia, Mongolia, Maghribi, Pakistan, Rusia, Senegal , Tajikistan, Turki, Turkmenistan, Sri Lanka, Filipina dan lain-lain.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Rabu, kedutaan Uzbekistan di Malaysia memaklumkan bahawa Presiden Shavkat Mirziyoyev mengemukakan inisiatif itu ketika persidangan Tashkent peringkat tinggi "Asia Tengah dan Selatan: kesalinghubungan serantau. Cabaran dan Peluang" pada Julai 2021.
Resolusi itu turut mengiktiraf kepentingan bekerjasama bagi mewujudkan rangkaian pengangkutan yang selamat, mampu milik, mudah diakses dan mampan untuk mencapai jalinan pengangkutan merentas Asia Tengah dan Selatan.
Ia menggalakkan kerjasama berterusan antara Asia Tengah dan Selatan dengan memperluaskan infrastruktur pengangkutan, teknologi maklumat dan komunikasi serta mewujudkan koridor pengangkutan antarabangsa baharu.
Selain itu, ia juga mengiktiraf peranan Afghanistan dalam menghubungkan Asia Tengah dan Selatan, serta pembangunan ekonomi dan integrasi terhadap proses ekonomi antara wilayah untuk menjamin keamanan dan kestabilan yang berkekalan.
Resolusi itu turut menekankan kepentingan membangunkan laluan pelancongan merangkumi pusat bersejarah dan budaya negara-negara Asia Tengah dan Selatan, dan menyokong usaha Asia Tengah dan Selatan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara wilayah dan rakyatnya, termasuk dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, inovasi, pelancongan, kebudayaan, kesenian dan sukan.
Ia juga mengiktiraf kepentingan jalinan tenaga antara Asia Tengah dan Selatan.
-- BERNAMA
#PBB #resolusi khas #Uzbekistan