PBB pindahkan petugas kemanusiaan susulan serangan udara di Tigray, Ethiopia

Bernama
Oktober 21, 2021 04:45 MYT
Orang ramai dilihat berhampiran kepulan asap hitam akibat kebakaran yang terjadi selepas serangan udara di Mekele, ibu kota wilayah Tigray, utara Ethiopia, 20 Okt, 2021. (Foto AP)
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memindahkan beberapa petugas kemanusiaan dari wilayah Tigray, Ethiopia, susulan serangan udara baharu yang berlaku di wilayah itu, lapor Agensi berita Xinhua memetik jurucakap PBB pada Rabu.
"Daripada maklumat awal yang diperoleh terdapat orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak cedera," kata timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Farhan Haq.
Haq berkata untuk langkah keselamatan sebilangan kecil pasukan kemanusian PBB telah dipindahkan.
Serangan udara itu pada Isnin itu telah mengorbankan tiga kanak-kanak dan mencederakan 20 yang lain.
Beliau berkata hampir 400 petugas berada di Tigray untuk membantu menyediakan bantuan kemanusiaan kepada golongan rentan.
Lebih 5.2 juta penduduk di Tigray atau lebih 90 peratus memerlukan bantuan kemanusiaan yang mendesak termasuk hampir 400,000 orang diancam kebuluran, kata jurucakap itu.
-- BERNAMA
#PBB #serangan udara #pindah petugas kemanusiaan #Tigray Ethiopia