Skip to main content

Dunia

PBB sahkan dua pemandu UNICEF maut dalam serangan Israel di Gaza

71742216807_UNICEF.jpg
Dua pemandu kontrak agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Semenanjung Gaza maut akibat bedilan Israel pada Jumaat, meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

GAZA/TEL AVIV: Dua pemandu kontrak agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Semenanjung Gaza maut akibat bedilan Israel pada Jumaat, meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, lapor agensi berita Jerman dpa.

"UNICEF amat berang dengan pembunuhan ini," kata agensi itu dalam satu kenyataan. Menurut UNICEF, kedua-dua mangsa ketika itu sedang berusaha membekalkan air bersih kepada penduduk di pusat pengisian air Mansoura di utara Gaza.

Advertisement

Dua lagi individu dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan, katanya.

Pusat pengisian air berkenaan merupakan "satu-satunya pusat pengisian trak yang masih beroperasi buat masa ini" bagi talian bekalan air yang menyalurkan bantuan ke Bandaraya Gaza. UNICEF menegaskan tiada sebarang perubahan dilakukan terhadap prosedur semasa operasi rutin itu dijalankan.

Agensi kanak-kanak PBB itu menggesa Israel supaya menyiasat insiden berkenaan. Organisasi itu turut memberi amaran bahawa pekerja kemanusiaan, penyedia perkhidmatan penting dan infrastruktur awam tidak sepatutnya dijadikan sasaran serangan.

Tentera Israel dalam maklum balas terhadap pertanyaan mengenai kejadian itu berkata pihaknya sedang meneliti dakwaan berkenaan.

--BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video