[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

PBB: Sekurang-kurangnya 47 cedera ditembak tentera Israel di pusat agihan bantuan Gaza

Bernama 28/05/2025 | 12:45 MYT
Pada Selasa, ribuan penduduk Gaza yang kelaparan menyerbu pusat agihan bantuan tajaan Amerika Syarikat, Gaza Humanitarian Foundation, di bandar Rafah, menurut pihak berkuasa tempatan. - Foto AP/Abdel Kareem Hana
GENEVA: Sekurang-kurangnya 47 penduduk Palestin cedera, kebanyakannya akibat tembakan tentera Israel, ketika orang ramai berpusu-pusu ke pusat agihan bantuan yang baru dibuka di Gaza, kata seorang pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Wilayah Palestin Diduduki, Ajith Sunghay berkata dalam taklimat media Persatuan Koresponden Bertauliah di PBB (ACANU) di Geneva bahawa "kebanyakan kecederaan berpunca daripada tembakan" dan ia "disebabkan oleh tembakan oleh IDF (tentera Israel)," menurut laporan Anadolu Ajansi.

Pada Selasa, ribuan penduduk Gaza yang kelaparan menyerbu pusat agihan bantuan tajaan Amerika Syarikat, Gaza Humanitarian Foundation, di bandar Rafah, menurut pihak berkuasa tempatan.

"Rancangan Israel untuk mengagihkan bantuan di zon penampan telah gagal sama sekali," menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera Israel melepaskan tembakan selepas ribuan penduduk menyerbu pusat berkenaan.

Sunghay turut membangkitkan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan memberi amaran bahawa keadaan terus merosot.

"Hanya dalam tempoh seminggu lalu, kami menyaksikan serangan yang mana tentera Israel sekali lagi dilihat menggunakan bahan letupan berskala besar ke atas kediaman dan tempat perlindungan," katanya, sambil menambah bahawa ratusan orang awam terbunuh atau cedera, dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Beliau menegaskan bahawa serangan seperti itu mencerminkan pengabaian terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya prinsip pembezaan dan kewajaran.

Menyifatkan hujung minggu lalu sebagai "mengerikan", beliau berkongsi kisah menyayat hati termasuk kanak-kanak rentung dalam tempat perlindungan, terbunuh ketika berlindung dalam khemah bersama keluarga, serta sembilan adik-beradik terkorban dalam satu serangan ketika ibu mereka, seorang doktor, sedang bertugas di hospital.

"Itu hanyalah sebahagian kecil daripada kezaliman yang sedang berlaku di Gaza," katanya.

Sunghay turut membangkitkan kebimbangan terhadap krisis makanan yang semakin parah. "Kami melihat kanak-kanak menderita akibat kelaparan, kekurangan zat makanan dan kebuluran, sementara ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan makanan. Gambar bayi yang kurus kering itu amat menyayat hati."

"Israel sedang mengenakan syarat hidup yang tidak serasi dengan kewujudan rakyat Palestin sebagai sebuah kumpulan di Gaza," katanya, merujuk kenyataan sebelum ini oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, yang menyifatkan keadaan itu sebagai "menyamai pembersihan etnik."

Beliau sekali lagi menggesa agar keganasan segera dihentikan: "Kami menggesa pembunuhan dihentikan. Kemusnahan tanpa pedoman ini dihentikan. Tebusan dibebaskan."

Israel telah menutup semua lintasan ke Gaza daripada penghantaran makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan sejak 2 Mac lalu, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu, menurut laporan kerajaan, hak asasi manusia dan antarabangsa.

-- BERNAMA


#penduduk Palestin #cedera #Gaza #tembakan tentera Israel #PBB